Warisan Nafi Tanding Semua Kerusi Parlimen Pada PRU-15

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) menyelar laporan sebuah portal yang menyatakan parti itu akan bertanding semua kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perbuatan menyebar berita palsu itu merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan secara jelas ingin mengelirukan rakyat.

Ketua Penerangan Warisan, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari berkata, kenyataan sebegitu telah menarik perhatian ramai, khususnya pemerhati dan pengikut perkembangan politik.

Kenyataan Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal baru-baru ini mengenai kesediaan untuk bertanding di kawasan tertentu di Semenanjung Malaysia bagi Pilihan Raya ke-15 (PRU15) dengan kerjasama parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) telah dimanipulasi pihak tertentu.

“Sehingga ada yang sanggup menabur fitnah dalam media sosial kononnya Warisan akan bertanding di semua kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semasa sesi zoom bersama The Concorde Club yang terdiri daripada wartawan-wartawan kanan melalui aplikasi zoom baru-baru ini, Mohd Shafie menyatakan kesediaan Warisan untuk bertanding di Semenanjung Malaysia.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menyatakan berapa jumlah kerusi dan kawasan yang akan ditandingi kerana perkara ini masih di dalam pertimbangan dan perbincangan di peringkat pusat.

Ulasan yang dibuat oleh Presiden Warisan itu sebagai respon spontan apabila ditanya oleh wartawan di dalam pertemuan melalui aplikasi zoom berkenaan.

Parti Warisan menolak dakwaan tersebut dan pada masa ini semua pemimpin Warisan di setiap peringkat sentiasa fokus mengangkat isu dan permasalahan rakyat yang memerlukan perhatian dan tindakan segera.

Pada masa ini, Warisan mempunyai lapan kerusi Parlimen iaitu Mohd. Shafie (Semporna), Datuk Darell Leiking (Penampang), Datuk Mohd. Azis Jamman (Sepanggar), Datuk Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud), Datuk Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu), Datuk Rozman Isli (Labuan), Ahmad Hassan (Papar) dan Ma’mun Sulaiman (Kalabakan).