Warisan Nafi Kenyataaan Sokong PN

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) menafikan satu kenyataan tular bahawa parti itu akan bekerjasama dan menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto S. Padua berkata, kenyataan tular itu adalah berita palsu dan merupakan satu lagi taktik yang dimainkan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) selaku alat propaganda kerajaan.

Satu kenyataan bertarikh 3 Ogos yang menggunakan kepala surat parti memaklumkan Presiden Warisan telah membuat keputusan demi kelangsungan parti untuk bangsa, agama dan negara iaitu menyokong Kerajaan Perikatan Nasional secara en-block demi kesejahteraan rakyat Malaysia khususnya dalam menghadapi pandemik yang melanda ketika ini.

Keputusan itu dikatakan dibuat dalam mesyuarat tergempar mengenai situasi politik semasa pada petang semalam. Perkara yang dibincangkan meliputi kes Covid-19, vaksinasi, penarikan diri UMNO dari kerajaan dan kestabilan politik di Malaysia.

Antara perkara paling utama yang kononnya dibangkitkan di dalam mesyuarat petang semalam adalah pengumuman penarikan diri 12 ahli Parlimen UMNO yang menyokong kerajaan PN dan jumlah sokongan ahli Parlimen kepada kerajaan sekarang.

Kenyataan itu memaklumkan Warisan turut menyahut seruan kerajaan dalam bersama-sama berganding bahu melawan pandemik Covid-19 dan menjayakan program vaksinasi yang sekarang ini sudah melebihi 500,000 dos sehari.

Kenyataan palsu itu tular selepas UMNO memilih untuk menarik sokongan daripada Kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, petang kelmarin.