Warisan Masih Kuat Di Sabah Dengan 20 Kerusi DUN

KOTA KINABALU: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob keluar dari parti tidak akan memberi kesan yang teruk terhadap parti.

Walaupun ADUN Sindumin itu meninggalkan parti namun, Warisan masih lagi kekal sebagai parti terkuat di Sabah dengan 20 kerusi DUN. Tiada parti lain yang mempunyai kekuatan sebegitu di peringkat negeri.

Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, dengan kekuatan yang ada dan rekod pentadbiran yang baik ketika Warisan mengetuai kerajaan negeri, beliau yakin bahawa parti Warisan akan menjadi pilihan utama pengundi pada pilihan raya yang akan datang.

Pada masa ini Warisan memainkan peranan bagi melakukan semak dan imbang kepada kerajaan di peringkat negeri mahupun persekutuan.

“Saya bersama-sama ahli Parlimen Warisan berjaya, atas prinsip semak dan imbang, membangkitkan isu-isu besar rakyat di Parlimen yang bukan sahaja menyentuh mengenai kepentingan rakyat Sabah malah seluruh warga Malaysia, tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan kedudukan.

“Oleh itu, saya meminta semua ahli dan penyokong serta kepimpinan di semua bahagian supaya bertenang dan kekal setia dengan perjuangan asal Warisan.

“Warisan akan terus berperanan menentang kleptokrasi, mengembalikan hak rakyat Sabah dan memperjuangkan kesaksamaan merentasi perbezaan kaum, bangsa atau agama, selaras dengan matlamat Warisan sebagai parti yang membawa suara dan mewakili pelbagai bangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie memohon rakyat Sabah untuk terus menyokong parti itu dalam usaha berpanjangan untuk membawa suara rakyat di peringkat persekutuan.

Ini terbukti apabila Parti Warisan berjaya dalam rundingan dengan Kerajaan Persekutuan di mana 17 daripada 21 perkara yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah pun dipersetujui untuk dilaksanakan.

Tambahnya, Warisan akan terus teguh berkhidmat bukan saja untuk menjaga kepentingan rakyat Sabah malah seluruh warga Malaysia.

Parti ini akan terus mendokong prinsip kesaksamaan dalam menjaga kepentingan rakyat berbilang kaum dan agama, demi untuk membina negara Malaysia yang progresif dan berdaya maju.