Warisan Mantapkan Pemimpin Akar Umbi Tiga Sayap

121

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
RANAU: Pemimpin-pemimpin tiga sayap Parti Warisan Sabah iaitu Wanita, Wira dan Wirawati berkampung selama dua hari di Kem Bina Negara, Kundasang di sini bagi menjalani kursus pemantapan kemahiran dan meningkatkan keupayaan masing-masing dalam memperjuangkan parti.

Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, kursus tersebut penting untuk membentuk satu pasukan yang mantap bagi memikul tugas memberi penerangan tentang dasar-dasar parti dan kerajaan serta berdepan tohmahan daripada pihak pembangkang.

“Di antara fokus utama kursus ini ialah kita ingin memastikan pimpinan sayap kita di peringkat akar umbi bahagian-bahagian memahami aspirasi dan harapan Warisan dalam menterjemahkan apa yang selama ini menjadi harapan rakyat agar dapat diterjemahkan kepada akar umbi kita.

“Pemimpin-pemimpin sayap ini ramai di antara mereka tidak mempunyai pengalaman politik, lahir mereka menyertai Warisan atas dasar kesedaran kerana berjuang untuk mengeluarkan Sabah daripada belenggu cengkaman parti UMNO dan BN sebab itu ramai di antara mereka ini sebenarnya yang tidak berpengalaman,” katanya kepada Borneo Today selepas perasmian Kem Pemantapan Pasukan Majlis Tertinggi ‘Team Building’ Sayap Parti Warisan semalam.

Program tersebut dirasmikan Naib Presiden Warisan, Datuk Jaujan Sambakong. Turut hadir, Ketua Wanita Warisan, Siti Aminah Jabarhan; Ketua Wirawati Warisan, Isnaraissah Munirah Majilis serta pemimpin-pemimpin tiga sayap Warisan dari semua bahagian.

Mohd. Azis berkata, dalam perjuangan politik, pemimpin di akar umbi perlu seiring dengan arahan pimpinan atasan terutama Presiden Warisan, justeru pemimpin akar umbi perlu mendapat latihan khusus.

Katanya, mereka mesti dilengkapi dengan ilmu dan bahan-bahan yang perlu untuk berdepan dengan musuh-musuh politik parti.

“Kita anjurkan selain ingin memberikan pendedahan kepada mereka, pengetahuan yang ingin kita berikan kerana penting pengetahuan ini kerana kita pemimpin kita mahir dan tahu apa bahan yang perlu dibawa dalam menangkis tohmahan fitnah yang dilontarkan oleh musuh-musuh kita.

“Jadi ini di antara pendekatan yang kita buat dalam kursus ini selain daripada ingin menjadikan mereka ini mengenali antara satu sama lain… ice breaking kita terapkan dalam program ini supaya kita mengenali satu sama lain sebab kalau Warisan mahu kuat kita mesti satu pasukan yang senada seirama,” katanya.