Warisan Libaran Raikan 30 Anak Yatim Dan Asnaf

558

Oleh EZALL ROHAIZAD
Sandakan: Seramai 30 kanak-kanak yang terdiri daripada anak yatim dan golongan asnaf dari Pertubuhan Pengurusan Rumah Amal Selawat Nabi, Sandakan diraikan dalam satu majlis amal anjuran Wirawati Parti Warisan Sabah (Warisan) Bahagian Libaran, baru-baru ini.

Bertempat di Hotel Livingston, di sini, kesemua kanak-kanak yang kurang bernasib baik itu turut menerima sumbangan daripada pihak penganjur dan para hadirin dalam usaha meringankan beban mereka menjelangnya perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Menurut Warden Pertubuhan Pengurusan Rumah Amal Selawat Nabi, Sandakan, Nurhaliza Abdul Harris berkata, pusat berkenaan sudah beroperasi sejak tahun 2012 dengan rata-rata penghuninya terdiri daripada kanak-kanak perempuan berusia antara tiga hingga 12 tahun.

“Terima kasih banyak kerana menjemput dan meraihkan anak anak yatim dan asnaf dari pusat kami kerana ianya secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada semua penghuni terlibat merasai kemeriahan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Dengan adanya majlis seumpama ini, sedikit sebanyak ianya dapat mengembirakan mereka. teruskanlah walaupun sekecil mana sumbangan sudah cukup membantu,” katanya, ketika ditemui di majlis berkenaan.

Hadir sama dalam majlis itu adalah mantan calon Warisan bagi kerusi Parlimen P.184 libaran pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) lalu, Irwan Mustapa serta ahli-ahli Wirawati dan dif kehormat yang turut menyumbang.

Untuk rekod, Pertubuhan Pengurusan Rumah Amal Selawat Nabi, Sandakan yang memulakan operasinya sejak enam tahun lalu itu adalah atas tanggungan pemilik premisnya sendiri dengan belanja lebih RM1,000 setiap bulan.

SABRINA YAHYA

Sementara itu, Irwan ketika ditemui berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada semua yang membantu dalam menjayakan majlis tersebut sekaligus menunaikan tanggungjawab sosial masing-masing dan beramal ketika bulan Ramadan ini.

“Saya amat berterima kasih kepada semua pihak terutamanya penyumbang dan penderma yang telah sudi meluangkan masa bersama anak yatim dan asnaf pada majlis ini.

“Diharapkan dengan adanya program begini serta perhatian dan keikhlasan semua dapat mengembirakan anak anak kurang bernasib baik ini,” katanya.

Manakala bagi Pengerusi jawatankuasa penganjur majlis, Sabrina Yahya berpendapat dengan adanya sumbangan dan program amal terbabit, ianya secara tidak langsung dapat membantu setiap ahli Wirawati Warisan Bahagian Libaran lebih mendekati komuniti setempat selain memuliakan mereka yang memerlukan.

“Selaku pengerusi penganjur saya dan rakan Wirawati Libaran memberikan perhatian kepada anak yatim dan asnaf sebagai usaha memuliakan anak yatim di bulan yang penuh berkah, dengan penyediaan tempat, makanan dan minuman, pengangkutan sepenuhnya diuruskan oleh pihak saya dan ahli jawatankuasa penganjur,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang dan melakukan lawatan bolehlah berhubung dengan Siti Nurdiana di talian 017-8300617 beralamat di Lot B162, Lorong 9, Perumahan Teres, Taman Sejati Utama, Batu 7 Sandakan.