Warisan Lebarkan Sayap Ke Kedah

ALOR SETAR : Warisan mengembangkan sayapnya ke negeri jelapang padi, Kedah.

Majlis Pelancaran Warisan di Kedah dirasmikan oleh Presiden parti, Datuk Seri Shafie Apdal di Alor Setar, semalam.

Menurut laporan Utusan Malaysia, kepimpinan parti itu di Kedah diketuai bekas Exco kerajaan negeri, Datuk Fadzil Hanafi sebagai pengerusi manakala Dr. Mohamed Ibnu Hassan Thalha dilantik sebagai timbalan pengerusi.

Dalam sidang media selepas pelancaran Warisan di Kedah, Mohd Shafie ketika diminta mengulas mengenai penerimaan penduduk Semenanjung Malaysia terhadap Warisan berkata, sambutan diterima cukup menggalakkan termasuk dari kalangan profesional serta bekas-bekas wakil rakyat parti lain.

“Ketika pelancaran Warisan di Pulau Pinang semalam, terdapat dua pegawai kanan bank dan dua doktor pakar menyertai kita.

“Di Perlis pula, kita ada bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) menyertai parti ini.

“Mereka ini individu yang berkeupayaan. Jadi, takkan mereka nak masuk Warisan kalau parti ini tidak dilihat sebagai landasan alternatif kepada pembangunan negara?” katanya.

Mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi Warisan, Mohd. Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, perkara itu hanya akan diumumkan apabila tiba masanya kelak.

“Seperti disebutkan sebelum ini, kita takkan bertanding semua 222 kerusi Parlimen. Kita sedar kekuatan dan keupayaan parti ini dan semua itu perlu diukur. Kita kena tertib dan teliti secara mendalam. Daripada bertanding banyak kerusi tetapi tiada yang menang di sesebuah negeri, lebih baik kami fokus bertanding di dua atau tiga kerusi saja yang boleh memberi kemenangan,” katanya.

Beliau berkata terdapat banyak pihak yang mahu bekerjasama dengan parti pimpinannya bagi membentuk gabungan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun katanya, ketika ini fokus Warisan tertumpu kepada usaha memantapkan kekuatan parti yang diibaratkan sebagai sebuah rumah.

“Ramai nak berhubung, itu perkara biasa. Tetapi buat masa ini kita nak rumah sendiri yang tangganya kena culik, tingkap kena beli, dibaiki dulu dan dimantapkan.

“Tak ada ertinya kita bergabung dalam keadaan parti masih belum mantap. Kita tak nak menumpang kepada parti-parti lain seakan-akan kita mengemis hingga akhirnya timbul masalah di kemudian hari,” katanya.