Warisan Labuan Teguh Dalam Perjuangan Parti

LABUAN: Sebanyak 15 cawangan dan tiga sayap Parti Warisan Bahagian Labuan bertekad bersatu-padu mendukung perjuangan parti.

Perjuangan Warisan yang mendahulukan kepentingan dan hak rakyat Sabah dan Labuan yang menjadi wadah perjuangan parti akan membolehkan Warisan terus relevan selamanya.

Setiausaha bahagian Warisan Labuan Rosli Awang Damit berkata rakyat Sabah dan Labuan sedar akan keperluan kewujudan Parti Warisan (sebagai parti tempatan), demi kesinambungan perjuangan hak dan kepentingan rakyat amnya.

Beliau berkata satu mesyuarat telah dibuat dikediamannya semalam berhubung keperluan meneruskan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada perjuangan parti.

“Warisan bahagian Labuan akan bersama kepimpinan pusat dalam meneruskan perjuangan parti untuk hak dan kepentingan rakyat.

“Kita yakin rakyat akan terus bersatu bersama Warisan dalam perjuangan ini,” katanya kepada pemberita.

Rosli berkata dalam mesyuarat malam tadi juga, kesemua 15 cawangan dan tiga sayap wanita, wira dan wirawati menzahirkan sokongan padu kepada ketua bahagian merangkap Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli.

Mereka yakin Rozman berupaya membawa parti itu menjadi parti yang diterima rakyat di wilayah persekutuan ini.

“Kesemua 15 cawangan dan tiga sayap parti – wanita, wira (pemuda) dan wirawati bersetuju untuk memberi sokongan tidak berbelah-bagi kepada Rozman Isli untuk terus memimpin parti sebagai ketua bahagian.

“Kami yakin, semua tuduhan yang dikenakan kepadanya adalah bermotivasikan politik,” katanya.

Rosli juga memaklumkan empat cawangan baharu menunggu kelulusan pendaftar (ROS), manakala
tiga cawangan lagi sedang dalam pertimbangan untuk diwujudkan sebagai penambahan cawangan sedia ada.

Sementara itu, ketua wira Warisan Labuan Muhammad Faizal Addullah berkata sayap bahagian parti itu telah bersiap sedia menghadapi pilihanraya umum ke 15 (PRU15).

“Wira Warisan bahagian Labuan menggerakkan jentera sayap parti dalam memastikan kesiapsiagaan menghadapi PRU15,” katanya.

Ketua Wanita bahagian Aliah Atar berkata sayap parti itu juga telah membuka bilik gerakan PRU15.

“Adalah menjadi tanggungjawab kami dibahagian Wanita membantu kepimpinan parti menjelang PRU 15 dengan mengukuhkan jentera sayap Wanita,” katanya.