Warisan Kekal Sebagai Blok Ketiga Mahu Isu Rakyat Diberi Perhatian

KUALA LUMPUR: Parti Warisan Sabah (Warisan) kekal dengan pendirian untuk menjadi blok ketiga bagi memainkan peranan sebagai semak dan imbang kepada kerajaan

Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mahu memainkan peranan memastikan memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani oleh kerajaan dan juga Pakatan Harapan (PH) dilaksanakan secara telus.

Malah, Warisan juga mahu memastikan isu-isu asas dan kritikal mengenai kepentingan rakyat dan juga negara perlu dibincang dan dibahas di dalam Dewan rakyat. Perincian kepada setiap cadangan dan persetujuan perlu diberi juga perlu dikongsikan kepada rakyat.

“Perkara ini wajar dilakukan bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan parti-parti politik dalam memimpin dan menerajui pentadbiran negara.

“Warisan akan terus komited untuk memperjuangkan isu-isu negara secara bipartisan dengan kerajaan dengan memberi keutamaan kepada isu seperti pengurusan dan kawalan wabak Covid-19, kesiapsiagaan negara menghadapi fasa endemik, isu pengangguran dan jurang kemiskinan yang semakin besar, serta infrastrukur kemudahan asas yang tidak cukup.

“Isu-isu ini akan dibangkitkan oleh semua ahli Parlimen Warisan secara berterusan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil oleh kerajaan,” katanya dalam perbahasan sempena Persidangan Parlimen, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, sehingga Julai, 778,200 orang telah hilang pekerjaan atau masih menganggur, ia meningkat 4.8 peratus daripada bulan sebelumnya.

Oleh itu, kerajaan perlu mengkaji punca sebenar menyebabkan pengangguran terus berlaku walaupun pelbagai peruntukan diberi dan program dilaksanakan.

Isu pekerjaan bawah kelayakan juga wajar diberi perhatian segera kerana pada tahun lalu, seramai 260,701 orang siswazah yang bersedia untuk memasuki pasaran kerja. Namun, jumlah pekerjaan mengikut kelayakan yang tersedia untuk siswazah hanya 73,000 pekerjaan, merosot 31,000 dari tahun sebelumnya.

Ini menyebabkan ramai dalam kalangan kumpulan siswazah ini mendapatkan pekerjaan sub-par daripada kelayakan yang mereka perolehi.

Ahli Parlimen Semporna ini sekali lagi menyarankan kerajaan supaya meneliti dan merombak semula polisi kuarantin kendiri ini agar rakyat yang positif mendapat jagaan sewajarnya.

Langkah ini penting bagi mengelakkan lebih banyak kematian terutama kematian di luar hospital (BID) pada masa akan datang.

Pada masa sama, beliau menyarankan agar sistem kesihatan awam diperkasakan dengan lebih banyak bantuan dan dana diberi bagi membolehkan hospital berfungsi secara maksima.

  • Kerajaan perlu meningkatkan kapasiti sistem kesihatan negara untuk menerima lebih ramai pesakit supaya dapat dikuarantin di hospital, bukannya di rumah sebagaimana situasi yang berlaku pada waktu ini.