Warisan Jangka Penukaran Pusat Pengundian 5,000 Untuk Kebaikan BN

Oleh LORETTO S PADUA
KOMEN: Parti Warisan Sabah (Warisan) mempertikaikan kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Najib Razak bahawa pilihan raya ke 14 ini akan dijalankan secara adil dan telus.

2. Kenyataan Najib itu nyata bercanggah dengan apa yang telah berjaya dikesan oleh Warisan di mana terdapat lebih kurang 5,000 pemilih berdaftar di Sabah telah ditukarkan ke tempat pengundian lain melalui semakan Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku 4/2017 (RDPT SK4) yang pameran 14 harinya berakhir Rabu lepas.

3. Unit Data Parti Warisan Sabah turut mendapati beberapa isu yang boleh dipertikaikan tentang kesahihan RDPT SK4 ini yang turut memperlihatkan permohonan pengundi bertukar alamat juga bertambah secara mendadak.

4. Apa yang dikatakan Najib bahawa sistem pengundian di negara ini telah ditambah baik tidak langsung kelihatan melalui RDPT SK4 ini. Taktik tertentu cara lama masih diaplikasikan dalam sistem SPR. Malahan senarai nama pemilih dari kalangan anggota keselamatam masih dipamerkan sebagai Pengundi Pos bukan Pengundi Awal.

LORETTO PADUA

5. Najib sepatutnya memberi kuasa penuh kepada SPR untuk mempertikaikan hak pemilih jika didapati ada isu yang menyalahi undang-undang bukan seperti sekarang di mana, SPR terikat sepenuhnya dengan data dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam penentuan status pemilih.

6. Terlalu banyak isu yang boleh diperkatakan jika aspek ketelusan diambil kira secara holistik. Najib perlu bertanya, adakah SPR mempunyai Pengkalan Data yang boleh diakses oleh mana-mana parti politik terutama pembangkang?

7. Jika PRU14 ini akan menjadi bersih dan adil kenapa jumlah nama pengundi yang dipotong dan dipindahkan ke tempat lain berlaku pada skala yang agak besar seperti yang disenaraikan dalam RDPT SK4 Sabah ini?

8. Kawasan parlimen Sepanggar telah merekodkan pemotongan nama pemilih yang bertukar alamat iaitu sebanyak 932 sambil diikuti oleh Putatan 651, Kota Kinabalu 429 dan Kalabakan 426. Agak sukar untuk mengesan ke mana lokasi baharu mereka ini dipindahkan sebelum RDPT ini digazetkan oleb SPR.

9. Mungkin Najib lupa bahawa RDPT semenjak Januari 2017 hanya boleh diakses oleh parti pembangkang di pusat pameran yang ditetapkan bukan dalam bentuk CD seperti sebelum ini. Langkah ini dilihat sebagai satu usaha untuk menyukarkan pihak pembangkang membuat analisa secara efektif kerana sengalanya boleh diperolehi daripada CD yang dibekalkan berbanding dengan sekarang secara manual.

10. Namun apa yang pasti, pihak kami mendapati lebih kurang 30,000 pemilih telah ditukar tempat mengundi mereka semenjak 2014 seluruh Sabah. Situasi ini amat membimbangkan kerana ada kemungkinan mereka ini adalah Pengundi Hantu atau mereka yang menjadi mangsa kepada perancangan rapi pihak tertentu untuk memenangi pilihan raya.

11. Pada pilihan raya yang lepas, pasukan pemantau beberapa gabungan NGO telah melaporkan beberapa kes dimana pengundi bertindak untuk tidak membuang undi selepas diberitahu bahawa pusat pengundian mereka telah dipindahkan ke lokasi yang agak jauh.

12. Jika senario sama berlaku pada PRU14 maka jumlah pengundi keluar mengundi pasti akan rendah dan ini sekaligus akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional pimpinan Najib.

13. Presiden Parti Warisan Sabah, Shafie Apdal turut pernah menjadi mangsa apabila namanya dipindahkan ke kawasan lain di Semporna pada tahun lepas tanpa pengetahuan beliau.

14. Jelas dapat dilihat senarai pemindahan pengundi ini amat luar biasa jika dibandingkan jumlah kecil pada RDPT 2 dan 3 (kurang dari 500 nama). Secara logiknya, pemindahan sebegini tidak akan memperlihatkan jumlah yang besar jika pengundi sendiri memilih untuk bertukar ke pusat pengundian lain (berpindah tempat tinggal).

15. Pada April lepas, melalui RDPT SK1/2017, Warisan Penampang melalui pimpinan Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah, Darell Leiking yang juga merupakan ahli parlimen di kawasan berkenaan telah menang 25 daripda 29 Bantahan terhadap penama yang memohon untuk berpindah masuk ke DUN Kapayan.

16. Dalam inkuiri tersebut SPR Sabah turut mendapati terdapat seorang pengundi yang langsung tidak mengetahui bahawa kawasan pengundian beliau telah dipindahkan ke kawasan baharu. Malahan alamat MyKad beliau juga masih tertera alamat pemaustautinan di Inanam dan bukannya di Kepayan.

17. Warisan Penampang telah berjaya membuktikan bahawa gejala pemindahan pengundi secara terancang ini memang berlaku secara halus di Sabah. Ramai pengundi dikatakan, dipengaruhi oleh inidividu tertentu, menggunakan alamat yang bukan tempat kediaman mereka. Warisan Penampang melalui pasukan penyalaras DUN Kapayan mereka telah sekali lagi menyerahkan bantahan terhadap 21 pemohon dari RDPT SK4/2017.

18. Parti Warisan Sabah merupakan parti politik pertama yang bertindak melakukan bantahan dalam RDPT. SPR mengesahkan tidak pernah menerima sebarang bantahan sebelum ini termasuk bantahan untuk RDPT SK4/2017, selain daripada Parti Warisan Sabah walaupun ada beberapa pihak mendakwa terdapat beberapa nama pemilih yang menggunakan alamat pemastautinan yang amat meragukan di dada akhbar.

19. Kami menyeru parti-parti politik yang berpengkalan di Sabah terutama pembangkang, untuk lebih berani tampil melakukan bantahan seperti ini. Tiada gunanya kita mengadu di media jika tiada tindakan susulan berlandaskan undang-undang yang telah diperuntukan.

20. Dengan ini, sebagai sebuah parti yang bertanggungjawap memperjuangkan hak rakyat Sabah, kami akan, dengan tegas, mengambil beberapa langkah untuk memerangi sebarang bentuk unsur-unsur penipuan yang jelas masih berleluasa di Sabah.

Loretto S. Padua ialah Setiausaha Agung Parti Warisan Sabah