Warisan Harta Serah Dividen RM10 Juta Kepada Kerajaan Sabah

1471
Hashim Paijan, tiga dari kanan, yang juga Pengarah Warisan Harta, menyampaikan dividen itu kepada Peter Thien Sin Min dan disaksikan oleh Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal.

KOTA KINABALU: Warisan Harta Sabah Sdn Bhd (WHSSB) hari ini (Selasa) menyerahkan dividen sebanyak RM10 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2017 kepada kerajaan negeri.

WHSSB merupakan sebuah subsidiari milik penuh syarikat pegangan pelaburan Sabah.

Setiausaha Negeri Datuk Hashim Paijan, yang juga Pengarah WHSSB, menyampaikan dividen itu kepada Timbalan Setiausaha Tetap kepada Menteri Kewangan Negeri, Datuk Peter Thien Sin Min dan disaksikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

WHSSB sehingga sekarang telah mengagihkan dividen kasar berjumlah RM242.7 juta kepada kerajaan negeri sejak diperbadankan pada 6 April 1995.

Hashim dalam satu kenyataan akhbar memberitahu lembaga pengarah dan pengurusan juga menyampaikan taklimat kepada Ketua Menteri mengenai prestasi kewangan keseluruhan WHSSB pada peringkat kumpulan dan syarikat bagi tahun 2017.

Pada tahap kumpulan, WHSSB mencatatkan pengurangan hasil sebanyak RM78.8 juta berbanding RM82.5 juta yang direkodkan pada 2016, berikutan suasana perniagaan yang mencabar.

“Akibatnya, kumpulan mencatatkan keuntungan kumpulan yang lebih rendah sebanyak RM20.9 juta berbanding RM38.6 juta dalam tahun kewangan berakhir pada 2016, ia juga disebabkan oleh penyusutan dalam hasil daripada entiti-entiti kawalan bersama dan syarikat-syarikat bersekutu.

“Bagaimanapun, dana pemegang saham kumpulan meningkat kepada RM1.036 bilion pada 2017,” katanya.

Pada peringkat syarikat, WHSSB mencatatkan kemerosotan hasil sebanyak RM18.9 juta pada 2017 berbanding RM19.9 juta yang direkodkan pada tahun kewangan 2016 tetapi, keuntungan selepas cukai bertambah kepada RM6 juta daripada RM3.5 juta pada 2016.

Sebagai sebuah cabang pelaburan kerajaan negeri, WHSSB telah mengorak langkah untuk meneroka peluang-peluang baharu, terutama dalam sektor strategik dan pada masa yang sama, membangunkan keupayaan kumpulan untuk jangka masa panjang, sambil mengekalkan keuntungan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata WHSSB telah membuktikan kemampuannya melalui penyerahan dividen kepada kerajaan negeri, walaupun ia berhadapan dengan kemelesetan perolehan akibat cabaran dalam perniagaan dan ekonomi.

Komitmen syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah untuk menyumbang dividen juga adalah penting bagi menjamin pengukuhan kewangan kerajaan negeri untuk membiayai peranannya dalam mentadbir hal ehwal Sabah.

Mohd Shafie juga berkata GLC di Sabah akan terus diperkukuhkan dalam keupayaan dan kepakaran mereka bagi menguruskan penglibatan negari dalam pelbagai sektor ekonomi.