Warisan Gesa Siasat Secara Teliti Kumpulan Gugat Ketenteraman Sabah

KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap sebarang cubaan yang mengancam keselamatan penduduk di Pantai Timur Sabah.

Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, laporan mengenai kumpulan atau individu yang mengeluarkan dokumen pengenalan diri Sulu Sultaniyah Darul Islam (SSDI) dengan mengenakan bayaran tertentu adalah membimbangkan kerana isu tuntutan ke atas Sabah oleh pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu.

“Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah telah menyatakan bahawa polis akan menyiasat kes berkaitan SSDI, dan kita mengharapkan agar siasatan itu dilakukan dengan cepat dan teliti.

“Warisan mengulangi gesaan betapa perlunya kerajaan negeri dan persekutuan untuk menangani ancaman tuntutan itu dengan serius dan meningkatkan tahap keselamatan di Sabah dengan apa sahaja cara sekalipun.

“Kami bukannya mahu menimbulkan kebimbangan atau panik tetapi selagi tiada tindakan serius dilakukan, ancaman keselamatan ini akan terus membelenggu dan menghantui kita dan rakyat Sabah khususnya akan terdedah kepada ancaman ini.

“Pasukan keselamatan kita mestilah sentiasa berwaspada dan tidak mengambil mudah perkara ini ataupun alpa dan terleka walaupun selama satu minit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Shafie berkata, masyarakat di Lahad Datu terpaksa berhadapan dengan insiden penculikan dan situasi yang mengancam nyawa selama bertahun-tahun sehingga menjejaskan mata pencarian mereka.

Katanya, industri pelancongan antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Sabah terjejas teruk oleh ancaman keselamatan ini.

“Kita tidak harus melupakan peristiwa tragis pencerobohan Tanduo pada tahun 2013. Peristiwa itu adalah sejarah hitam negara dan kita tidak mahu ia berulang,” katanya

Namun selagi Kerajaan Persekutuan dan negeri terus memandang ringan perkara ini, ancaman ini akan terus berlegar, menghantui serta mengganggu pemikiran kita seperti awan gelap yang menyebabkan kehidupan kita menjadi tidak tenang dan tenteram.

Warisan juga sudah berkali-kali menggesa agar aspek kawalan dan tahap keselamatan di Pantai Timur Sabah diperketatkan lagi dan insiden terbaharu ini menunjukkan betapa perlunya untuk menempatkan kem tentera di Lahad Datu.

Kehadiran pasukan keselamatan seperti tentera dapat mempertingkatkan lagi tahap keselamatan selain dapat membantu Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) untuk memperkukuhkan kawalan di sempadan perairan negara.