Warisan Gesa Kerajaan Negeri Kemuka Kertas Putih Berkaitan NCA

(Komen: Setiausaha Agung Parti Warisan, Datuk Loretto S. Padua)

Merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan pada 8 Februari dimana beliau telah mengatakan bahawa Nature Conservation Agreement (NCA) perlu dilaksanakan dengan kadar segera sebelum undang-undang Persekutuan berkaitan dagangan karbon (carbon trading) dikuatkuasakan.

Seperti biasa, Kitingan tidak menyatakan dengan jelas kepada kita semua apakah undang-undang Persekutuan mengenai dagangan karbon yang dimaksudkannya itu tetapi ianya mungkin merujuk kepada Draf Akta Perubahan Iklim (Climate Change Act) yang sedang digubal oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta usaha Kerajaan Persekutuan untuk mempergiatkan dagangan karbon negara pada tahun ini melalui perbincangan diantara Kementerian Kewangan (MOF), KASA dan Bursa Malaysia dengan Kerajaan-kerajaan negeri.

Kitingan juga telah memberikan alasan bahawa Sabah mesti bertindak pantas untuk memiliki kuasa terhadap dagangan karbon negeri ini yang mampu menjana hasil yang cukup lumayan agar ianya tidak jatuh ke tangan orang lain sepertimana Sabah kehilangan kuasa terhadap hasil minyak dan gas negeri ini yang bernilai berbillion ringgit.

Tetapi alasan Kitingan diatas tidak memberikannya sebarang justifikasi untuk menasihatkan dan seterusnya mewakili Kabinet Sabah dan Kerajaan Negeri Sabah untuk terlibat dalam satu perjanjian senyap yang berkaitan dengan pengurusan kawasan hutan Sabah berkeluasan hampir 2 juta hektar dengan firma luar negara yang tidak mempunyai sebarang rekod pengurusan dagangan karbon malah hanya mempunyai modal berbayar sebanyak US1,000.

Harus diingat, NCA yang ditandatangani secara senyap ini hanya kita diketahui 10 hari kemudiannya melalui Mongabay, satu portal antarabangsa yang berpusat di Amerika Syarikat yang memantau isu-isu perlindungan dan pemuliharan alam sekitar sedunia.

Jika Kitingan mahu ‘Bertindak Pantas’ dalam konteks yang sebenar, maka beliau sepatutnya bertindak pantas dengan menggunakan kelebihannya sebagai Timbalan Ketua Menteri yang mempunyai akses kepada Kerajaan Persekutuan untuk memaklumkan rakyat Sabah mengenai kemungkinan Sabah kehilangan hak terhadap hasil yang lumayan berikutan dengan pengenalan undang-undang Persekutuan mengenai dagangan karbon ini dan seterusnya, membawa isu ini ke Dewan Undangan Negeri untuk diperbahaskan dan Warisan sudah pastinya akan menyokong usul yang mahu mempertahankan hak-hak Sabah.

Oleh yang demikian, saya nasihatkan Kitingan agar berhenti untuk memikirkan bahawa beliau boleh bertindak sesuka hatinya hanya atas alasan ‘untuk kebaikkan Sabah’ kerana sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pertanian, dia sepatutnya sedar tentang protokol dan peruntukkan undang-undang yang menghalang penyalahgunaan kuasa oleh sesiapa pun termasuk Menteri dan penjawat awam.

Jika Kitingan mahu terus bertindak sesuka hatinya kerana beliau berfikiran beliau lebih jujur, berpengalaman dan berpelajaran, maka saya sarankan agar GRS melucutkan jawatannya sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pertanian dan menjadikannya Penasihat No. 1 kepada Kerajaan GRS.

Oleh kerana Kitingan telah mengatakan kepada kita semua bahawa perkara ini telah pun dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan dan kelulusan diberikan kepada Ketua Menteri, maka secara automatiknya, konsep dan dasar ‘collective responsibility’ oleh Kabinet Negeri Sabah diaktifkan dan kita sekarang tahu bahawa Jemaah Kabinet Sabah sebenarnya tahu tentang perjanjian ini dari awal lagi maka oleh yang demikian, kita mahukan kertas putih mengenai NCA dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Sabah dan bukan lagi sekadar penerangan secara bersendirian oleh Kitingan.

Saya juga telahpun mengadakan perbincangan dengan Biro MA63 Warisan dan ingin saya nyatakan disini bahawa sebelum Akta Parlimen yang berkaitan dengan dagangan karbon diatas dapat dilaksanakan di negeri ini, Kerajaan Persekutuan terlebih dahulu haruslah mendapat persetujuan 2/3 daripada Dewan Undangan Negeri dan Perlembagaan Persekutuan Artikel 74(2), 76(3), 76A(2), 77FC, 88(b), 161E(2)(c) ialah antara mekanisma-mekanisma perlindungan untuk Sabah.

Sekiranya terdapat peruntukkan Persekutuan yang bertentangan dengan perkara hutan dan pertanian sepertimana yang terkandung dalam 21 Perkara MA63 yang dikuasai kembali oleh Kerajaan Negeri ketika era pentadbiran WarisanPlus, maka Warisan tidak akan teragak-agak untuk menentang sebarang usaha yang mahu melanggar perkara ini.

Biro MA63 Warisan akan membuat perincian mengenai dakwaan Kitingan tentang undang-undang Persekutuan ini dalam masa yang terdekat.