Warisan Gesa GRS Adil Dalam Pemberian Bantuan COVID-19

KOTA KINABALU: Naib Presiden Warisan Datuk Junz Wong pada hari Sabtu telah menggesa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengetepikan sifat pilih kasih dalam isu pengagihan bantuan Covid-19.

Melalui sebuah kenyataan media, beliau mengimbau cara pemberian bantuan pada Oktober 2020 yang lalu.

“GRS tahun lalu mengumum ratusan juta ringgit untuk pengagihan bantuan bakul makanan. Tapi sampai sekarang, majoriti Sabahans masih belum menerima bantuan yang dijanjikan.”

“Bulan lalu, GRS umum bahawa sekitar 400,000 bakul makanan telah diagih. Tapi mana 400,000 bakul itu? Majoriti tidak nampak mana bakulnya.”

“Ramai juga tidak menerima kerana syarat-syarat yang dikenakan. Antaranya syarat e-kasih.”

“Takkan GRS tidak tahu, ramai golongan miskin tegar tidak didaftarkan di bawah e-kasih? Jadi macam mana dengan nasib mereka?”

“Lebih parah. Saya terima aduan ada sesetengah pemimpin politik GRS bersikap pilih kasih. Mereka hanya bantu ahli-ahli dan penyokong-penyokong parti politik tertentu. Kalau kamu tidak sokong GRS, dia tidak akan bantu kamu.”

Junz yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru menambah, Tanjung Aru di zaman Warisan adalah contoh terbaik.

“Pada 2020, ketika Warisan masih kerajaan, saya berani katakan bahawa majoriti rumah-rumah di Tanjung Aru menerima bantuan makanan Warisan.”

“Mungkin bukan setiap satu rumah kerana masa itu PKP tiba-tiba diumumkan dan itu kali pertama mana-mana kerajaan pernah laksana bantuan berskala besar seperti itu.”

“Tapi saya boleh katakan majoriti rumah ada dapat.”

“Kenapa mampu dilakukan?”

“Kerana saya tidak kisah siapa tinggal dalam rumah itu, parti politik apa dia sokong, di mana dia undi. Itu saya tidak pernah mahu ambil tahu.”

“Apa yang lebih penting ialah memastikan seramai Sabahans menerima bantuan dalam masa yang singkat.”

“Memandangkan saya wakil rakyat yang dipilih di Tanjung Aru, pejabat saya membuat keputusan untuk tidak membazir masa membuat senarai nama, tudak membazir masa membuang nama-nama yang dikatakan tidak layak dan sebagainya.”

“Daripada membuang masa membuat paperwork sia-sia, lebih baik guna masa singkat yang ada itu untuk agih bantuan.”

“Makin ramai dapat, makin bagus.”

“Tidak sampai sebulan kemudian, pada April 2020, pejabat saya berjaya memastikan 11,100 bakul makanan tiba di rumah-rumah di Tanjung Aru. Lebihan 2,524 pek lagi dihantar ke Tuaran, Beaufort, Kimanis, Keningau dan sebagainya. Jadi jumlahnya 13,624 pek dalam masa kurang daripada sebulan.”

“Ini bukan main cakap saja. Perincian, jumlah wang yang digunapakai, semuanya saya bentangkan kepada media. Boleh semak balik keratan-keratan akhbar atau laporan berita.”

“Jadi jangan GRS cakap tidak boleh. Sebab GRS kini sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan.”

“Saya dapat lakukan. Warisan dapat lakukan meskipun Kerajaan Persekutuan pada masa itu asyik mengacau Sabah.”

Di penghujung, Junz berkata sikap pilih kasih adalah tidak harus.

“Semua orang terkesan dengan pandemik ini. Adakah siapa-siapa berani kata dia tidak terkesan?

“Jadi GRS tidak boleh cakap siapa layak dibantu, siapa tidak layak dibantu. Semua orang terkesan dan perlu bantuan. Jenis dan bentuk bantuan mungkin berbeza. Tetapi semua orang pun perlukan bantuan.”