Warisan Cawangan Seri Bendung Tidak Wujud, Kenyataan Keluar Parti Palsu


Oleh AZIS KHAN

KOTA KINABALU: Satu lagi pengumuman keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) yang dilakukan seorang lelaki bernama Adenih Setuh yang kononnya dari Cawangan Seri Bendung terbukti hanya rekaan semata-mata.

Pengumuman tersebut jelas diatur oleh parti politik tertentu dalam usaha mereka mencemarkan imej baik Warisan  dan melemahkan semangat penyokong parti itu dan rakyat agar hilang keyakinan kepada kerajaan.

Setiausaha Warisan Bahagian Rhodes Panilau bagaimanapun berjaya membongkar tipu helah tersebut selepas memeriksa maklumat keahlian lelaki berkenaan semalam.

Rhodes mendedahkan, lelaki itu sebenarnya bukanlah ahli Warisan, malah cawangan tersebut juga tidak wujud.

“Saya mengambil maklum berkenaan tersebarnya berita mengatakan ketua cawangan Seri Bendung yang diketuai Adenih Setuh bersama 46 ahli telah keluar daripada Parti Warisan Sabah Bahagian Tuaran.

“Untuk makluman, mengikut senarai nama keahlian Warisan Bahagian Tuaran, Adenih Setuh bukan ahli Warisan (tidak ada nama dalam senarai keahlian Warisan Tuaran).

“Begitu juga dengan nama cawangan Seri Bendung, tidak wujud dalam senarai cawangan Warisan Bahagian Tuaran.

” Kenyataan di media sosial yang mengatakan keluar Parti Warisan Sabah bersama 46 ahli hanyalah direka-reka untuk melemahkan semangat penyokong Parti Warisan Sabah,” kata Rhodes dalam Facebook beliau.

Sejak minggu lalu, beberapa individu yang mendakwa ahli Warisan mengumumkan keluar parti kononnya kerana hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan.

Hakikatnya, langkah tersebut hanyalah propaganda pihak tertentu yang cuba merampas Kerajaan Sabah daripada Warisan melalui pintu belakang.