Warisan Care Platform Bantu Pelajar Tercicir Sambung Pengajian

KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) mengambil inisiatif melancarkan Warisan Care sebagai platfrom membantu pelajar yang tercicir untuk menyambung pengajian di Kuala Lumpur City College.

Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, program yang dibiayai sepenuhnya oleh kolej tersebut diharap dapat membantu anak-anak Sabah melanjutkan pengajian dan seterusnya bekerja dalam sektor peruncitan.

Beliau berkata, menerusi program itu, anak-anak Sabah boleh melanjutkan pengajian di peringkat persijilan dan diploma selepas tamat sesi persekolahan.

Dengan menyertai program ini, anak Sabah yang tiada ruang untuk melanjutkan pengajian boleh menyambung pengajian yang akan memberi mereka peluang menimba ilmu pengetahuan dan seterusnya berpeluang bekerja dalam sektor peruncitan.

Selepas tamat pengajian di kolej tersebut, pelajar berpeluang menjalani latihan secara dalaman.

“Ini bermakna, mereka bukan sekadar belajar dalam bidang peruncitan tetapi, mereka turut berpeluang bekerja dalam sektor tersebut setelah tamat pengajian.

“Secara keseluruhan, kolej itu boleh menampung sehingga 5,000 orang pelajar pada satu-satu masa jadi, diharap ia akan memberi manfaat kepada lebih ramai anak-anak Sabah,” katanya semasa Majlis Pelancaran Warisan Care kelmarin.

Mohd Shafie berkata, usaha ini diambil kerana beliau bimbang dengan anak-anak Sabah yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian.

Katanya, daripada mereka duduk di rumah tanpa buat apa-apa, lebih baik mereka menimba ilmu dan seterusnya mengikuti latihan amali di sektor peruncitan yang bekerjasama dengan KL City College.

Beliau berharap, pada masa akan datang, kolej itu juga boleh menawarkan latihan dalam sektor lain seperti kejuruteraan.

Jelasnya, sekiranya program itu berjaya memberi manfaat kepada anak-anak Sabah, Warisan akan memperluaskan lagi program Warisan Care pada masa akan datang.