Warisan Bukan Kroni Mahathir

PAPAR: Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal menepis dakwaan yang mengaitkannya sebagai kroni Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan keputusan parti melebarkan sayap ke Semenanjung.

“Saya berasa amat kecewa apabila orang mengatakan saya kroni Tun Mahathir,” katanya selepas mesyuarat bersama pemimpin akar umbi Warisan Limbahau hari ini.

Beliau berkata demikian semasa mengulas tentang perkembangan terkini sejak Warisan melancarkan sayap parti di Semenanjung bulan lepas.

Ahli Parlimen Semporna berkata, sejak dahulu lagi beliau tidak bersetuju apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipimpin Dr Mahathir melebarkan sayap ke Sabah pada 2019 semasa Warisan memerintah Sabah.

Namun, ketika itu Dr Mahathir tidak mempedulikan bantahan tersebut dan tetap melebarkan sayap ke Sabah. Itu membawa kepada pertikaian yang besar.

“Bagaimana orang mengatakan saya kroni jika kemasukan Bersatu ke Sabah mendapat tentangan,” katanya.
Bekas Naib Presiden UMNO berkata, semasa berada di dalam UMNO, beliau berkhidmat bersama Dr Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak.

“Saya pernah berada dalam UMNO dan berkhidmat kepada pemimpin parti namun, tidak bermakna kita perlu patuh kepada mereka. Itu sebabnya saya keluar daripada UMNO pada 2016 dan menubuhkan Warisan dan kemudian bekerjasama dengan Pakatan Harapan pada 2018.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang berkata, parti pembangkang harus membenarkan ahli-ahli mereka menyertai parti lain dalam blok pembangkang dan bukannya membiarkan mereka menyertai parti dalam kerajaan.

Misalnya, situasi di Johor dimana 1,000 ahli Parti Tindakan Demoratik (DAP) menyertai Bersatu dan bukan parti pembangkang lain.

“Jika tidak dapat menghalang mereka daripada meninggalkan parti maka, benarkan mereka menyertai parti pembangkang lain,” katanya.

Misalnya seperti Maszlee Malik yang menyertai PKR yang merupakan sebahagian daripada parti pembangkang. Warisan masih kekal mesra kepada PKR dan DAP dalam blok pembangkang.

Mengulas lanjut beliau berkata, ketika ini Warisan penerimaan rakyat Semenanjung Malaysia terhadap Warisan amat baik.

“Saya percaya terhadap keperluan untuk menyatukan negara ini bukan hanya melalui platform politik tetapi, dengan menerima pandangan daripada rakyat Semenanjung dan juga suara rakyat Sabah dalam berkongsi kuasa untuk membina sebuah negara,” ujarnya.

Menyentuh tentang nama-nama besar yang akan menyertai Warisan di Semenanjung, beliau berkata, perkara itu akan diumumkan apabila tiba masanya.

Kunjungan Mohd Shafie ke Limbahau disambut baik oleh kepimpinan akar umbi biarpun setelah ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim dan ADUN Melalap, Datuk Peter Anthony keluar meninggalkan Warisan bulan lalu, bagi menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).