Warisan Bersama Rakan Pembangkang Tolak Tawaran Muhyiddin

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) bersama rakan pembangkang dari Semenanjung dan Sarawak menolak sekeras-kerasnya tawaran politik Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pendirian itu dinyatakan oleh Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal bersama Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Baru Bian dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Keempat-empat pemimpin pembangkang ini sekali lagi menyatakan pendirian untuk mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan dengan cara terhormat bagi membenarkan proses demokrasi diadakan semula.

“Segala cadangan reformasi yang kononnya dibentangkan oleh Muhyiddin Yassin boleh diangkat dan dibawa ke Parlimen oleh Perdana Menteri baharu yang mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat,” kata mereka dalam kenyataan tersebut.

Mohd Shafie dan rakan pembangkang ini menyifatkan pengumuman yang dibuat oleh Muhyiddin itu satu kenyataan yang cukup jelik dan hipokrit terutama apabila beliau cuba untuk membeli sokongan menerusi reformasi Akta Lompat Parti.

Jelas mereka, perlu diingat kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibentuk dengan ahli-ahli Parlimen yang melompat parti setelah menerima tawaran dan sogokan.

Menurut pemimpin pembangkang ini, sejak dari tahun lepas parti-parti pembangkang telah mencadangkan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dilaksanakan untuk menstabilkan kerajaan.

“Ketika itu, pembangkang berpendapat walaupun Tan Sri Muhyiddin Yasin menjadi Perdana Menteri dan membentuk kerajaan melalui pintu belakang, kami bersedia untuk bertolak ansur demi kemaslahatan dan kebajikan rakyat. Namun, Muhyiddin dengan sombong telah menolak segala tawaran pembangkang.

“Sejak dari hari pertama Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, beliau telah dengan sewenang-wenangnya menyalahgunakan undang-undang demi kuasa.

“Keangkuhan Muhyiddin untuk kekal berkuasa dengan cara membeli Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengakibatkan kejatuhan kerajaan di Sabah, Kedah, Perak dan Johor.

Kenyataan itu disokong oleh Ahli Parlimen Warisan yang terdiri daripada Datuk Darell Leiking (Penampang), Datuk Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu), Datuk Mohd Azis Jamman (Sepanggar), Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud), Ma’mun Sulaiman (Kalabakan), Ahmad Hassan (Papar), Datuk Rozman Isli (Labuan) serta seorang ahli Parlimen PSB Datuk Masir Kujat (Sri Aman).