Warisan Berperanan Besar Terhadap Kemenangan Dalam PRK Sandakan

211
Dr Mahathir, kiri, bersama Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal di sidang media di Kota Kinabalu Isnin.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan penghargaan terhadap Kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang sentiasa bekerjasama erat dengan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan.

Beliau berkata, meskipun parti itu (Warisan) bukan berada dalam parti komponen PH namun, mereka memainkan peranan sangat besar terhadap kemenangan calon DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan baru-baru ini.

Calon DAP Vivian Wong Shir Yee memenangi PRK Parlimen Sandakan dengan majoriti 11,521 undi selepas memperolehi 16,012 undi bagi menewaskan empat lagi calon lain termasuk pencabar terdekatnya calon PBS Datuk Linda Tsen (4,491 undi).

“Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) juga sentiasa bekerjasama rapat dengan Warisan biarpun mereka bukan parti komponen dalam PH.

Ditemui selepas Majlis Iftar bersama Perdana Menteri, di Masjid Bandaraya, di sini pada Ahad, Tun Mahahthir berkata, JKR Pusat yang akan menentukan pemberian kuasa pengurusan projek itu.

Perdana Menteri diminta mengulas mengenai penyerahkan kuasa pengurusan Projek Lebuh Raya Pan Borneo kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Mahathir berkata, perkara itu akan ditentukan oleh JKR Pusat.

Beliau berkata, kerajaan sebelum ini telah melantik pihak luar untuk memantau projek berkenaan sehingga menyebabkan kerajaan mengeluarkan perbelanjaan tambahan disebabkan menggunakan perkhidmatan pihak luar.

“Ia sepatutnya kerja JKR. Maka, JKR akan mengambil alih semula tugas berkenaan. Oleh itu, dalam kes membabitkan (pelaksanaan projek) Sabah, ia terserah kepada mereka (menentukan),” ujarnya.

Mengenai kelewatan penyaluran peruntukan bagi pembiayaan projek pembangunan di Sabah, beliau menyatakan kelewatan itu bukan hanya berlaku di Sabah tetapi turut berlaku di negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Katanya, penyaluran pembiayaan projek pembangunan sangat perlahan berikutan beberapa kekangan yang dihadapi termasuk masalah bebanan kewangan yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

“Penyaluran yang perlahan ini bukan hanya di Sabah tetapi juga di Semenanjung Malaysia.

“Kita tidak mempunyai kewangan yang banyak. Maka, kita serahkan kepada sektor swasta melaksanakan projek. Namun, kita akan memastikan sektor swasta yang betul-betul tulen dan bukannya dimiliki individu lain,” jelasnya.

Turut hadir dalam Majlis Iftar itu adalah isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal dan isteri Datin Seri Shuryani Shuaib serta beberapa menteri Kabinet Sabah yang lain.