Warisan Berjaya Cabar Keputusan Kerusi Parlimen Milik Yamani, Anifah

9413
Hafez Yamani

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) berjaya mencabar kerusi Parlimen Sipitang yang dimenangi Yamani Hafez Musa selepas Mahkamah Persekutuan hari ini mengarahkan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu membicarakan semula petisyen yang difailkan parti itu.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Ahmad Maarof selepas menerima rayuan daripada calon Warisan di kerusi itu.

Empat lagi hakim yang membuat keputusan itu adalah Hakim Besar Malaya, Zaharah Ibrahim; Hakim Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim dan dua Hakim Mahkamah Persekutuan Idrus Harun serta Azhar Mohamed.

Berikutan itu, Mahkamah Persekutuan memerintahkan kes tersebut dibicarakan semula pada 25 Februari depan.

Pada 18 Jun lalu, Warisan memfailkan petisyen pilihan raya di mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bagi mencabar keputusan PRU14 di empat kerusi Parlimen dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Bagaimanapun, pada 16 Oktober tahun lalu, Mahkamah Pilihanraya Kota Kinabalu menolak petisyen itu.

Empat kerusi Parlimen itu melibatkan kawasan Kimanis, Sipitang Libaran dan Keningau.
Manakala bagi empat kerusi DUN pula melibatkan kawasan Sungai Sibuga, Kundasang, Sook dan Kiulu.

Anifah Aman

Dalam PRU14 Yamani yang juga anak bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mewakili Barisan Nasional (BN) mendapat 12,038 undi mengalahkan Noor Hayati Mustapha (Warisan) dan Dayang Aezzy Liman (Harapan Rakyat).

Warisan bagaimanapun mengemukakan petisyen mencabar keputusan berkenaan selepas mendakwa kemenangan Yamani adalah disebabkan politik wang dan pelbagai kesalahan lain.

Sementara itu, di mahkamah sama, lima panel hakim berbeza turut memberi kebenaran kepada Warisan untuk mencabar kemenangan BN bagi kerusi Parlimen Kimanis milik Datuk Seri Anifah Aman.

Mahkamah Persekutuan menetapkan petisyen yang difailkan calon Warisan di kerusi itu dalam PRU14, Datuk Karim Bujang dibicarakan pada Rabu ini.

Dalam PRU14, Anifah berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 156 selepas mendapat 11,942 undi berbanding Karim sebanyak 11,786 undi.