Warisan Beri 16,093 Hektar Tanah Untuk Rakyat

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Persoalan ‘apa kerajaan Warisan buat’ antara soalan yang sering kedengaran sejak kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bermula.

Menjelang hari-hari terkahir kempen, persoalan itu masih dibangkitkan oleh pihak lawan.

Namun, dalam tempoh 26 bulan memerintah, kerajaan yang dikatakan tidak berbuat apa-apa ini berusaha sebaik mungkin mengagihkan geran-geran tanah kepada pemohon yang telah bertahun-tahun menanti.

Sehingga kini, kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) telah meluluskan sebanyak 8,771 permohonan tanah yang melibatkan kawasan seluas 16,093 hektar (39,767 ekar).

Di bawah pemerintahan Warisan, sebanyak 11, 586 geran yang telah tersedia untuk diagihkan namun, masih ada 2,815 geran yang masih belum dapat diserahkan berikutan pergolakan politik yang mengganggu proses pentadbiran Sabah.

Berdasarkan data penyerahan geran yang dilakukan, daerah Keningau merupakan daerah yang paling banyak menerima geran tanah iaitu melibatkan 2,300 orang pemohon dengan keluasan tanah sebanyak 5,813 hektar (14,365 ekar).

Program penyerahan geran tanah ini dimulakan oleh kerajaan Warisan pada 1 Mei 2019 di Tongod melibatkan 60 orang penerima melibatkan kawasan seluas 199 hektar (492 ekar).

Majlis penyerahan borang yang terakhir sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bermula adalah di Kota Marudu iaitu pada 6 September lalu,

Majlis penyerahan geran yang disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal di Kota Marudu ini melibatkan tanah seluas 1,056 hektar yang melibatkan 543 orang penerima.

Ada antara pemohon sudah menunggu lebih 30 hingga 40 tahun untuk mendapatkan geran tanah yang diusahakan sejak zaman nenek-moyang mereka. Malah, ada pemohon asal yang sudah pun meninggal dunia.

Timbul tanya tanya kenapa geran-geran itu enggan diserahkan kepada rakyat yang berhak? Itu memang hak rakyat. Kenapa mesti geran milik rakyat ini digabungkan dalam geran komunal atau geran berkelompok semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Kini, apabila kerajaan Warisan memerintah mereka (BN) cuba mendapatkan kredit melalui usaha yang dilakukan Warisan untuk mempermudahkan kehidupan rakyat.

Mohd Shafie sebelum ini berulang kali menyatakan, beliau tidak menafikan Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) merupakan inisiatif yang dimulakan pada zaman BN.

Namun, geran yang diberikan ketika itu hanya geran komunal atau berkelompok dimana, beberapa nama dimasukkan dalam satu geran. Geran ini diperkenal pada 2010 dibawah pemerintahan Tan Sri Musa Aman.

Mohd Shafie dipetik berkata, melalui geran komunal, setiap penama tidak berhak terhadap tanah. Malah, mereka tidak tahu dimana lokasi tanah tersebut hingga menyebabkan banyak berlaku pertindihan tuntutan. Kebanyakan tanah juga diuruskan oleh agensi atau syarikat yang dilantik.

Dibawah kerajaan Warisan, kerajaan memberikan geran individu yang boleh diwariskan hingga ke anak cucu mereka kerana tanah ini tidak boleh dijual.

Sebaliknya, beliau mengalakkan pemilik tanah untuk mengusahakan tanah masing-masing dengan bimbingan yang diberikan oleh Jabatan Pertanian.