Warisan Bahagian Sudah Lama Diarah Kemuka Senarai Calon

KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) sudah lama mengarahkan pemimpin di peringkat bahagian untuk menyenaraikan calon-calon yang berpotensi untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, setiap bahagian telah diminta kemukakan senarai calon namun, kata pemutus akan diberikan oleh kepimpinan tertinggi parti.

“Saya ingat awal lagi saya sudah maklumkan kepada bahagian cuma kita tidak war-warkan siapa calon tersebut.

“Bahagian-bahagian boleh kemukakan (calon) tapi, kata pemutus kepimpinan parti yang akan buat keputusan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Warisan hari ini.

Bagi senarai calon yang mewakili Warisan di Semenanjung Malaysia pula, mereka akan meminta laporan daripada semua pengerusi perhubungan di beberapa negeri yang sudah dilantik.

“Mereka akan maklumkan kepada kita kerana mereka lebih mengetahui siapa yang layak dan siapa yang boleh menawarkan diri sebagai calon di kawasan mereka.

“Kalau DAP, UMNO, PKR mahupun PAS boleh bertanding di Sabah takkan Warisan tidak boleh bertanding di Semenanjung. Semua parti berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) layak untuk bertanding,” katanya.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Semporna itu tidak menjelaskan secara terperinci sama ada Warisan akan bertanding di semua 26 kerusi Parlimen di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Mohd Shafie berkata, seperti dikatakan sebelum ini, jika ada kerjasama bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) maka, senarai calon akan diperhalusi bersama PBS. Namun, jika tiada kerjasama maka, tiadalah perbincangan.

Mengulas jika Warisan akan bergerak solo atau membentuk kerjasama pada PRU-15, beliau masih berteka-teki mengenai perkara itu.

“Kita akan dedahkan apabila tiba masa yang sesuai. Setakat ini, kita ingin memberi fokus kepada mesyuarat agung tahunan parti,” katanya.

Menurutnya, mesyuarat AMT hari ini juga tidak membincangkan secara terperinci tentang kerjasama mahupun gabungan dengan mana-mana parti menjelang PRU-15.

Jelas beliau, Warisan mahu memperkukuhkan kedudukan parti sendiri terlebih dahulu sebelum bercakap soal kerjasama.

Ends.