Warisan Bahagian Papar Masih Kukuh

PAPAR: Parti Warisan (Warisan) masih kekal kukuh walaupun terdapat beberapa ahli jawatankuasa (AJK) keluar meninggalkan parti.

Ketua Bahagian Warisan Papar, Ahmad Hassan berkata, tindakan beberapa AJK keluar bagi mengikut bekas Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony bukan sesuatu yang mengejutkan.

“Warisan bahagian akan terus memberi fokus untuk memperkasakan parti dengan menyantuni rakyat. Perjuangan kami bukan bersifat peribadi sebaliknya, ingin membela nasib rakyat.

“Ketika ini Warisan Bahagian Papar masih kukuh dan utuh seperti dahulu. Kami akan terus berjuang bersama pucuk pimpinan yang diketuai oleh Presiden, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal,” katanya dalam satu kenyaaan hari ini.

Ahli Parlimen Papar itu berkata, Warisan akan sentiasa memperkasa akar umbi dan memberikan tumpuan kepada perjuangan asal menuntut hak-hak Sabah serta fokus kepada mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Pada Sabtu lalu, kehadiran lebih 400 penyokong mendengar amanat Presiden parti menunjukkan keyakinan dan sokongan padu rakyat kepada Warisan.

“Situasi itu menunjukkan mereka masih kekal bersama-sama kepimpinan parti yang diterajui Shafie Apdal,” katanya.

Menyentuh mengenai langkah Warisan melebarkan sayap perjuangannya ke Semenanjung beliau berkata, Warisan masih berada pada landasan asal yang betul.

“Kita yakin ahli-ahli yang ada ketika terdiri daripada mereka yang mempunyai jati diri yang tinggi serta ingin melihat perubahan kepada negara pada masa hadapan,” katanya.

Jelasnya, keputusan melebarkan sayap ke Semenanjung merupakan satu langkah yang amat tepat.

Jelasnya, presiden parti serta barisan pimpinan Warisan akan tetap memperjuangkan kepentingan pelbagai kaum, dan tidak hanya tertumpu kepada satu-satu bangsa.