‘Warisan Akibatkan Kerugian? Hutang Musa Aman Pun Kita Bayar’

PAPAR: Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal menepis dakwaan Datuk Seri Hajiji Noor yang menyatakan kerajaan Warisan tidak membawa keuntungan semasa memerintah negeri Sabah.

Beliau berkata, dakwaan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah itu tidak masuk akal dan sekadar mahu menjatuhkan imej Warisan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Kita berjaya membayar hutang Musa Aman RM1 bilion, siapa bayar hutang RM1 bilion, Hajiji?.

“Kalau pemerintahan Warisan sebabkan negeri ini muflis, macam mana kita boleh membayar hutang kerajaan yang bernilai RM1 bilion. Jangan buat dakwaan tidak masuk akal, itu dakwaan sampah.

“Minyak masak dikeluarkan semasa zaman Warisan adalah produk baharu yang perlu ditambah baik dan dipasarkan dengan baik. Tiada penyelewengan berlaku, itu tidak masuk akal,” katanya semasa Program Ramah Mesra di Parlimen Papar kelmarin.

Menurut Mohd Shafie, tiada orang mulakan perniagaan terus mendapat keuntungan dalam tempoh sehari. Begitu juga dengan operasi kilang minyak masak yang diwujudkan oleh Warisan.
Tiga kilang minyak masak telah dibangunkan semasa pemerintahan Warisan. Jadi, jika betul kerajaan hari ini membuat keuntungan maka, kenapa tidak mereka mulakan semula kilang Onsoi di Keningau.

Katanya, kerajaan memerintah hari ini enggan meneruskan operasi kilang minyak masak yang dimulakan oleh Warisan.

Jika mereka teruskan operasi kilang itu sudah pasti anak-anak tempatan yang bekerja di situ masih mempunyai pekerjaan sehingga sekarang.

Pembukaan kilang tersebut dilakukan bagi memberi peluang pekerjaan kepada anak tempatan Sabah namun, operasinya dihentikan semasa pemerintahan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).