Warisan Akan Melaksanakan MA63 Tanpa Kompromi Nanti

10887
Francis Au

Oleh FRANCIS AU
SURAT: Wira Warisan tertanya-tanya mengapa agaknya Jimmy Wong, Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu bersikap serta berkelakuan seakan-akan seperti UMNO dan Barisan Nasional?

Sejak kebelakangan ini juga, Warisan juga agak skeptikal dengan tindak-tanduk beberapa parti pembangkang yang tidak putus-putus ‘menyerang’ Warisan, seolah-olah mereka lupa siapakah musuh sebenar mereka dalam politik.

Ianya bukan mengenai soal ‘kira ayam’ sebaliknya Wira Warisan realistik serta berkeyakinan bahawa pucuk pimpinan parti khususnya Datuk Seri Shafie Apdal (DSSA) tidak memberi harapan palsu kepada penyokong dan juga rakyat Sabah yang inginkan perubahan.

Sejak ditubuhkan pada bulan Oktober tahun lalu, Warisan telah bertungkus lumus, bekerja keras turun padang sehingga ke akar umbi untuk berjumpa dengan rakyat, untuk bertanya dengan rakyat, apakah yang rakyat mahu?

Di pihak Warisan di dalam mana-mana sesi ceramah mahupun forum tidak pernah mana-mana pemimpin Warisan berkempen dengan mengambil pendekatan untuk memperjelas mengenai apakah isi kandungan Perjanjian Malaysia 1963.

Sebaliknya, DSSA dan pucuk pimpinan Warisan berkali-kali meyakinkan penyokong dan rakyat Sabah bahawa Warisan punya cara untuk menuntut autonomi Sabah, selain melaksanakan ‘Kad Sabah’ untuk menjaga hak dan kepentingan orang Sabah.

Shafie Apdal tidak memberi harapan palsu kepada penyokong dan juga rakyat Sabah yang inginkan perubahan.

Pendirian Warisan mengenai MA63 adalah kukuh dan jelas bahawa MA63 bukanlah perkara yang boleh dibawa berunding sama ada untuk dilaksana separuh-separuh atau sebahagian daripadanya sahaja seperti yang dicadang oleh kerajaan (persekutuan) Najib Razak , mahupun kerajaan (negeri) Musa Aman.

Tetapi MA63 haruslah dihormati dan dilaksanakan kerana ianya adalah warisan daripada pemimpin terdahulu yang mana telah dipersetujui oleh semua pihak semasa pembentukan Malaysia.

Bila mana Warisan diberi mandat menerajui Kerajaan Sabah di masa akan datang Warisan akan melaksanakan MA63 tanpa kompromi.

DSSA dan pucuk pimpinan Warisan tidak memberikan harapan palsu mengenai hal ini kerana Warisan mempunyai cara yang signifikan, cara yang logik dan munasabah serta realistik untuk melaksanakan perkara ini.

Atas sebab itu, Warisan tidak terburu-buru untuk bergabung dengan mana-mana parti pembangkang di Sabah. Kerana pada akhirnya rakyat yang akan menentukan kemahuan mereka? Kerana pada akhirnya juga, pada rakyat sebagai pengundi juga akan menentukan parti mana yang mereka mahukan, dan parti mana yang rakyat yakini boleh menumbang rejim UMNO dan Barisan Nasional khususnya pada PRU14 ini.

Selama ini kita sudah melihat beberapa parti pembangkang di Sabah sama ada parti nasional atau tempatan sehingga kini telah kecundang dalam pilihanraya tetapi masih bercita-cita besar meskipun secara prestasinya mereka sebenarnya telah ditolak oleh rakyat.

Atas sebab itulah juga, DSSA dan pucuk pimpinan Warisan berkali-kali dalam ucapan menjelas bahawa soal gabungan atau kerjasama ini tidak perlu diputuskan secara terburu-buru.

Sebaliknya perlu diteliti dengan jelas dan mengambil pendekatan berhati-hati, walaupun pada zahir ianya nampak baik tetapi, dikhuatiri akan ‘memakan diri’ jika kita terlalu ghairah dan lupa sejarah.

  • Francis Au adalah ketua penerangan Wira Warisan Sabah, merangkap, ketua Wira Warisan Kota Marudu