Warisan Akan Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Anifah Aman

10056
SHAFIE APDAL

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Datuk Seri Anifah Aman selepas beliau didakwa menghina Warisan dan presiden mereka, Datuk Seri Shafie Apdal dengan kata-kata berbaur perkauman.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Tahun Baru Cina di Sabah Hope Centre malam tadi, Shafie mengesahkan partinya akan mengheret Anifah ke mahkamah selepas parti itu mementukan jumlah pampasan yang wajar.

“Mana boleh seseorang seperti itu, seorang menteri luar negeri, seorang menteri kabinet secara terbuka mengatakan saya orang asing? Ini tak boleh,” katanya.

Sekurang-kurangya 3 laporan polis dibuat oleh parti itu terhadap Anifah berkenaan apa yang didakwa mengangin-anginkan Warisan parti lanun mahu membuat tuntutan hak nenek moyang mereka ke atas negeri itu.

ANIFAH AMAN

Ucapan Anifah didakwa dibuat di satu majlis Tahun Baru Cina bersama masyarakat Cina dari Kimanis di sebuah hotel di sini sebelum cuti Tahun Baru Cina.

Dalam rakaman ucapan yang didakwa dibuat Anifah, menteri kabinet itu memberitahu hadirin bahawa rakyat Sabah harus memilih penduduk Sabah asli sebagai ketua menteri, kenyataan yang difahamkan Warisan membayangkan Shafie tidak dianggap seorang penduduk Sabah asli.

Shafie tidak berpuas hati dengan perkembangan isu ini dan berkata masalah ini disebabkan oleh Anifah.

“Mereka yang memulakannya, walaupun jelas dinyatakan dalam undang-undang tubuh siapa pribumi Sabah.

“Bajau salah satu daripada kaum itu dan saya daripada etnik itu,” katanya.

Pada Januari, Shafie mempertikaikan mengapa seteru politiknya menimbulkan isu keturunan beliau sedangkan ketua menteri terdahulu dengan latar belakang sama tiada masalah.

Shafie, yang berketurunan Bajau dan Semporna di pantai timur Sabah letih dengan golongan yang memainkan politik kaum dan menggunakan taktik menakut-nakutkan orang dengan mencemuh logo Warisan, iaitu sebuah kapal layar, seperti kapal lanun.

“Saya mahu tegaskan Warisan parti berbilang kaum dan terbuka kepada semua rakyat Sabah. Ada pihak mungkin mengatakan kita perlu label parti mengikut kaum. Tetapi saya rasa, kita perlu semai perasaan persaudaraan dan kesatuan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.

“Kalau kita tidak terlalu tertumpu pada kaum, saya percaya kita boleh selesaikan banyak masalah,” katanya.

Beliau memberi amaran kepada Barisan Nasional terutamanya Umno bahawa satu tsunami baru akan melanda dan akan menamatkan pemerintahan mereka di Sabah. – Tracy Patrick/ freemalaysiatoday.com

BACA LAGI DISINI: –

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/02/24/warisan-akan-ambil-tindakan-undang-undang-terhadap-anifah/