Warisan Akan Ambil Balik Tanah Felda Yang Belum Diteroka

Shafie Apdal
Shafie Apdal, lima dari kanan, Junz Wong lima, dari kiri, serta pemimpin lain Parti Warisan diruah terbuka Tahun Baru Cina Warisan di Kota Kinabalu.

Oleh TEAM BORNEOTODAY
KOTA KINABALU – Sekiranya Parti Warisan Sabah menubuhkan sebuah kerajaan baru, ia akan mengarahkan Peguam Besar Negeri untuk mengkaji semula perjanjian yang ditandatangani dengan Felda dalam usaha untuk mengambil balik tanah-tanah yang belum diteroka.

Menurut Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal, Felda mengaut keuntungan berjumlah jutaan ringgit setiap tahun dengan mengorbankan rakyat Sabah.

Dalam ucapannya di perayaan Tahun Baru Cina Warisan yang dianjurkan oleh Naib Presiden dan Ahli Dewan Undangan Likas, Junz Wong pada hari Ahad, Shafie berkata:

“Tanah luas di Lahad Datu telah diberikan kepada Felda untuk skim pembangunan penempatan, tetapi hari ini mungkin hanya 20 peratus sahaja daripada keluasan tanah itu telah digunakan untuk tujuan tersebut.

“Bakinya telah dikomersilkan dan keuntungan kembali kepada ibu pejabat Felda di Kuala Lumpur.

“Jika Warisan membentuk kerajaan, kita akan mengambil balik tanah-tanah (yang belum digunakan untuk tujuan penempatan) dan meletakkannya di bawah agensi Sabah supaya keuntungan kekal di negeri ini.”

Shafie juga berkata beliau akan meneliti untuk mengembangkan aktiviti pemprosesan hiliran minyak sawit mentah yang dihasilkan di Sabah.

“Sabah merupakan pengeluar minyak sawit mentah terbesar di negara ini tetapi ia dieksport ke negara-negara lain atau dihantar ke Semenanjung.

“Mengapa kerajaan sekarang tidak boleh membuka kilang, atau menjemput pelabur untuk menubuhkan kilang-kilang memproses minyak sawit mentah menjadi produk nilai tambah dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan dalam proses itu,” katanya.

Pada majlis berasingan bagi pelancaran jersi pasukan bola sepak KDMM pada hari yang sama, Shafie berkata kerajaan Warisan juga akan memberi lebih penekanan kepada pembangunan sukan dan aktiviti belia.

Beliau berkata, kerajaannya akan menubuhkan tabung keusahawanan RM100 juta untuk menggalakkan golongan belia memulakan perniagaan kecil dan sederhana.