Waris Culik Di Perairan Dent Haven Rayu Kerajaan Cari Jalan Bebaskan Mangsa

664
Gustia (kanan) dan Hariyanti (tengah) sambil memangku anak masing-masing sedih mengenangkan nasib suami mereka ketika sidang media berjalan.
Gustia (kanan) dan Hariyanti (tengah) sambil memangku anak masing-masing sedih mengenangkan nasib suami mereka ketika sidang media berjalan.

TAWAU – Semua waris kepada lima mangsa culik sekumpulan lelaki pada Julai lepas merayu kepada kerajaan agar mencari jalan segera untuk membebaskan mangsa.

Isteri Tayudin, Gustia Sultan, 46, berkata semua waris keluarga mangsa buntu mencari jalan untuk membebaskan mangsa culik itu di perairan Dent Haven, Tambisan di Lahad Datu.

“Kami sudah habis ikhtiar, tidak tahu lagi mahu buat apa, suami kami kata mereka hidup sengara di sana, tapi kami juga hidup susah di sini, ini pun nasib baik ada majikan yang masih memberi kami wang untuk menampung hidup,” katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Gustia berkata, suami dan rakan-rakannya yang diculik kini berada dalam keadaan terseksa di bawah tahanan kumpulan Abu Sayyaf.

“Saya bimbang soal keselamatan suami dan yang lain kerana mereka dipukul hingga lebam dan kadang-kadang mereka tidak diberikan makanan dan minuman, malah minum air parit sahaja.

“Setiap malam ketika tidur, tangan diikat…kalau hujan mereka berhujan dan ketika matahari terik mereka dijemur,” katanya lagi dengan linangan air mata.

Mangsa-mangsa culik itu dikenali sebagai Abd Rahim Summas, 62, juragan bot dari Kampung Tanjung Batu, Tawau; empat kru bot iaitu Tayudin Anjut, 45, dari Kampung Tanjung Batu Darat, Tawau; Mohd Ridzuan Ismail, 32, dari Felda Jengka 7, Bandar Jengka, Pahang; Fandy Bakran, 26, dari Kampung Pukat Tawau; dan Mohamad Jumadil Rahim, 23, dari Batu 2, Jalan Apas, Tawau.

Gustia berkata, suaminya kerap menghubunginya melalui telefon dipercayai milik salah seorang anggota penculik itu dan memberitahu bahawa kumpulan penjenayah itu meminta wang tebusan 20 juta peso (RM1.7 juta) untuk seorang.

Menurutnya, kerajaan diharap dapat menggandakan usaha atau perundingan untuk membebaskan semua mangsa culik itu.

“Kami juga akan merayu untuk melakukan kutipan derma dari orang ramai bagi mengumpul 100 juta Peso atau pun kira-kira RM8.6 juta bagi membebaskan kesemua tebusan,” katanya.

Sementara itu, Haryanti Hasmih, 31, isteri kepada Mohd Ridzuan, pula berkata suaminya sentiasa bertanyakan mengenai wang tebusan untuk membebaskannya dan rakan-rakan kerana dikhuatiri penculik berkenaan bertindak di luar kawalan.

“Saya hanya mampu cakap sabar, kerajaan sedang berusaha membebaskan mereka,” katanya.

Turut hadir ialah Sutino Jamalu, 50, isteri kepada Abdul Rahim; Hasmia Lahapi, 50, ibu kepada Fandy; dan Siarah Lageno, 49, ibu Mohamad Jumadil.