Warga Tempatan Masih Jadi tenaga Kerja Utama Labuan Shipyard

1048

LABUAN: Penduduk Labuan masih menjadi tenaga kerja utama di syarikat pembuat kapal, Labuan Shipyard & Engineering Sdn Bhd (LSE), dengan merangkumi 55 peratus daripada lebih 300 pekerja dalam pelbagai jabatan di organisasi tersebut.

LSE, yang pernah menjadi syarikat pembuat kapal terbesar di Malaysia serta memiliki limbungan terbuka terbesar di Asia bagi kerja-kerja pembuatan dan pembaikan kapal disokong lebih 2,000 pekerja itu kini hanya menumpukan pembaikan kapal sahaja ekoran kerja pembuatan kapal semakin berkurangan dalam keadaan perniagaan perkapalan semasa.

Anggota Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli berkata LSE, yang masih menjadi antara majikan penting di Labuan, telah mengambil beratus penduduk tempatan dari Labuan, Sabah, Sarawak dan semenanjung untuk operasinya 24 jam sehari.

“Kita perlu bangga kerana LSE masih beroperasi. Sekurang-kurangnya tenaga kerja berkemahiran dan separa kemahiran dari Labuan mempunyai peluang untuk bekerja di sini yang menawarkan pendedahan teknikal dan kerja bertaraf piawaian antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke limbungan LSE di sini, hari ini.

Rozman diiringi dua anggota Majlis Penasihat Perbadanan Labuan iaitu Simsudin Sidek dan Noor Halim Zaini.

Beliau berkata kemajuan pembangunan perniagaan di LSE memberi kesan limpahan ekonomi kepada komuniti perniagaan dan ekonomi pulau ini secara amnya.

“Saya dimaklumkan bahawa LSE mempunyai sejumlah vendor dari Labuan, dan mereka meraih manfaat secara ekonomi daripada aktiviti perniagaan di sini,” katanya.

Rozman berkata janji niaga LSE dengan ekspatriat firma asing juga mewujudkan kesan limpahan ekonomi untuk pengendali hotel dan kedai-kedai.

LSE, yang dimiliki Radimax Group Sdn Bhd dan Sapura Energy Bhd, merupakan penyedia penyelesaian bersepadu terkenal bagi industri marin serta minyak dan gas di rantau Asia-Pasifik.

Setakat ini, limbungan tersebut membina pelbagai jenis kapal, daripada kapal pukat tunda sehingga kapal tangki produk bersih dan kimia yang lebih sofistikated dan kompleks – termasuk MV Bunga Semarak dan MV Bunga Santian – kedua-duanya merupakan kapal tangki minyak sawit/kimia 16,500-DWT dan terbesar yang pernah dibina di Malaysia.