Warga Sabah Di Semenanjung Disaran Tukar Alamat Mengundi

JOHOR BAHRU: Parti Warisan (Warisan) menyarankan 250,000 masyarakat Borneo yang menetap di Semenanjung menukar alamat tempat pengundian mereka menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurut Utusan Malaysia, Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong berkata, seruan itu dibuat khusus kepada komuniti berkenaan yang tidak berhasrat  pulang ke kampung halaman bagi mengundi ekoran terdapat komuniti Borneo yang besar di beberapa negeri semenanjung antaranya Johor, Selangor dan Pulau Pinang.

“Kita akui Warisan ada kelebihan di negeri-negeri yang mempunyai komuniti masyarakat Borneo khususnya Sabah kerana mereka tahu perjuangan dibawa Warisan. Kita akan cuba ajak mereka tukar alamat tempat mengundi khususnya yang sudah lama menetap di semenanjung,” katanya dalam sidang akhbar selepas menerima penyertaan bekas Naib Ketua Wanita Gerakan Persekutuan dan Ketua Wanita Gerakan Johor, Wong Siew Poh bersama kumpulan penyokongnya di Stulang Laut, di sini hari ini.

Siew Poh pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai bermula tahun 1995 hingga 1999 sebelum meninggalkan arena politik pada 2006.

Ketika ini, Warisan sudah memiliki 85 cawangan di seluruh negara melibatkan lima negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Perak dan Johor.

Sementara itu, Junz Wong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru berkata, pihaknya sedang mempertimbang untuk meletakkan calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekiranya diadakan.