Warga Pakistan Bekal Rokok Kretek Ke Ladang, Diberkas

Oleh ARDYHANSAH AMAT
PAITAN: Seorang lelaki warga Pakistan ditahan selepas didakwa membawa 1,570 bungkus rokok kretek di Jalan Paitan, di sini, petang tadi

Dalam kejadian jam 1 petang itu, Pasukan Polis Gerakan Am (PGA) dari Batalion 20 Beluran, merampas semua rokok pelbagai jenama yang dibawa menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, dianggarkan bernilai RM28,700 selepas cukai.

Pegawai Pemerintah Batalion 20 PGA Beluran, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata demikian menerusi kenyataan media, hari ini.

“Sebelum itu, anggota bertugas yang diketuai Inspektor Shairul Nordin menahan kenderaan yang dipandu suspek di lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, terdapat beberapa bungkusan besar berisi rokok kretek di dalam kenderaan terbabit dipercayai di seludup dari negara jiran untuk dijual di sini,” katanya.

Tambah Mohd Nasaruddin, suspek dipercayai menjadi pembekal rokok kretek ke ladang-ladang sekitar Paitan untuk dijual.

“Sehubungan itu, suspek ditahan manakala semua rokok kretek dan kenderaan suspek dianggarkan bernilai lebih RM100,000 dirampas bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967,” katanya.