Warga KKTP Dinasihatkan Amalkan Sikap Integriti Ketika Bertugas

375
George Hiew, empat kanan, menyampaikan anugerah perkhidmatan cemerlang kepada seorang penerima. – Gambar BorneoToday oleh Mikel Ragang

Oleh MIKEL RAGANG
KOTA KINABALU: Semua warga kerja Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) dinasihatkan untuk mengamalkan atau meletakkan integriti dalam setiap tugasan serta amanah yang telah diberikan.

Menterinya Datuk Jaujan Sambakong berkata, penjawat awam sering kali dikejutkan dengan isu penyelewengan yang melibatkan wang ringgit hasil perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Kegiatan seumpamanya menjejaskan nama baik penjawat awam dengan perbuatan pecah amanah.

“Saya mencadangkan agar semua kakitangan kementerian ini dan agensi berkaitan agar hadir dalam seminar berkaitan integriti bagi memperkasakan lagi pengetahuan berhubung nilai integriti, amanah, jujur, sifat keperibadian baik, hak orang awam, kepentingan organisasi, perkhidmatan negeri dan hendaklah mengatasi kepentingan diri sendiri.

“Pegawai awam perlu sentiasa berpegang kepada nilai integriti ketika bertugas sepanjang masa,” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Majlis Sekalung Budi KKTP 2018, di sini pada pagi tadi. Teks ucapannya dibacakan oleh Pembantu Menteri KKTP George Hiew Vun Zin.

Jaujan yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, sebagai penjawat awam tidak kira penerima APC atau sebaliknya, mereka mempunyai tanggungjawab dan amanah besar bagi memastikan kesejahteraan dan rakyat di Sabah terjamin.

“Penjawat awam mempunyai peranan yang amat penting dalam memastikan kerajaan baru dapat berjalan dengan baik dan terus berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Jaujan turut berjanji bahawa kualiti penyampaian perkhidmatan akan ditingkatkan menerusi 11 Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Menurutnya, KPI seumpamanya akan dijadikan kayu pengukur bagi memastikan perkhidmatan yang disampaikan kepada pelanggan dan golongan sasar adalah berkesan.

“Penetapan KPI ini merangkumi pelbagai aspek seperti perkhidmatan awam, kebersihan bandar, urus tadbir Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pengurusan perumahan, penyediaan pekan-pekan baharu serta ruang berniaga kepada orang ramai.

“Selain itu, saya juga menyasarkan sekurang-kurangnya 17 PBT akan memperolehi penarafan empat bintang ke atas,” jelasnya.

Beliau berharap dengan penetapan sasaran itu, PBT akan mempercekapkan lagi pengurusan, perkhidmatan teras, pengurusan pelanggan dan penyertaan komuniti.

Dalam majlis yang sama, Jaujan turut mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai KKTP yang bersara wajib pada tahun ini termasuklah Mantan Setiausaha Tetap Datuk Ginun Yangus.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap KKTP Masnah Matsalleh serta tetamu kehormat yang lain.