Warga Emas Maut, Waja Bertembung Hilux

88
Pasukan perubatan dan anggota bomba bekerja keras memberikan bantuan kepada mangsa yang tersepit.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KENINGAU: Seorang warga emas maut selepas Proton Waja dinaiki bertembung dengan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di Kilometer 10 Jalan Keningau – Tenom petang ini.

Dalam kejadian pada pukul 3.51 petang tadi, mangsa yang maut ialah Tinsim Petek, 69, yang juga merupakan pemandu Proton Waja berkenaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, tiga lagi mangsa yang menaiki pacuan empat roda tersebut hanya cedera ringan.

Katanya, mereka adalah Jasni Tette, 65; Yong Min Kiong, 64, dan Yong Min Mau, 74.

Salah seorang mangsa yang cedera ringan selepas Toyota Hilux dinaiki terbalik.

“Pihak kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.51 petang lalu menggerakkan seorang pegawai dan lapan anggota ke lokasi kejadian.

“Bomba segera memberikan bantuan kepada mangsa terutama pemandu Proton Waja yang parah dan segera dihantar ke hospital menaiki ambulans.

Katanya, mangsa bagaimanapun disahkan maut oleh pasukan perubatan sebelum tiba di hospital.

Tambahnya, operasi tamat pada pukul 4.17 petang selepas kawasan kemalangan disahkan selamat.