Warga Emas Maut Berhampiran Hotel

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Uzur dan sakit tua dipercayai menjadi punca kematian seorang warga emas yang ditemukan terbaring di Jalan Haji Karim, di sini semalam.

Perkara itu disahkan oleh seorang daripada anak mangsa menerusi laporan polis yang dibuat, malam tadi.

Terdahulu, dalam kejadian pukul 10.20 malam itu, mangsa T. Vanialingam, 81, dikatakan rebah secara tiba-tiba berhampiran sebuah hotel di situ.

Orang ramai yang kebetulan menyaksikan perkara tersebut segera membantu dan mendapati mangsa tidak sedarkan diri.

Menurut saksi yang mahu dikenali sebagai Syed, 27, berkata, sebelum kejadian, mangsa hendak melintas jalan menuju ke arah bangunan hotel.

“Saya kebetulan berada di kawasan berhampiran terkejut melihat mangsa tiba-tiba jatuh sebelum segera mendapatkannya selepas mendapati lelaki itu masih terbaring untuk tempoh masa agak lama.

“Saya segera menghampirinya dan cuba mengejutkan mangsa, namun tidak berjaya sebelum ada individu lain bertindak menghubungi pihak hospital,” katanya.

Tambahnya, tidak lama kemudian, polis tiba di lokasi sebelum memasang pita keselamatan di kawasan sekitar mangsa bagi menutup kawasan tersebut daripada orang awam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika dihubungi, mengesahkan kejadian tersebut.

“Siasatan dan tinjauan di lokasi kejadian mendapati tiada unsur jenayah yang menyebabkan kematian mangsa.

“Bagaimanapun, kami akan menyiasat lebih lanjut mengenai perkara ini bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa,” katanya.

Tambah Peter, sehingga kini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.