BELURAN: Polis menahan seorang lelaki warga Kanada berusia 69 tahun kerana dipercayai mencabul seorang wanita Australia berusia 21 tahun di dalam sebuah bas ekspres semasa berada di Telupid Rabu lalu.
Kejadian tersebut dikatakan berlaku kira-kira pukul 1.47 pagi ketika mangsa duduk di sebelah lelaki itu semasa dalam perjalanan dari Kota Kinabaku ke Sandakan.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintenden Kasim Muda berkata, mangsa menyedari perbuatan itu apabila suspek memasukkan tangan ke dalam pakaiannya.
“Mangsa kemudiannya bertindak dengan memarahi suspek atas perbuatan yang telah dilakukan dan telah berlaku kekecohan sebelum pemandu bas menukarkan tempat duduk suspek.
“Suspek telah diserahkan kepada pihak polis sebaik tiba di Sandakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kasim berkata, suspek telah dituduh di Mahakmah Sesyen di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan ditawarkan denda sebanyak RM 10,000 namun mengaku tidak bersalah dan akan dibicarakan pada 5 November depan.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan kepada suspek yang kini ditahan di Penjara Sandakan.