Warga Emas Hilang 3 Hari di Hutan, Ditemui Selamat

KOTA BELUD: Seorang wanita warga emas berusia 74 tahun yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu di hutan Kampung Melangkap Kapa di sini, ditemui pasukan pencari dalam keadaan lemah dan cedera di kepala, pagi tadi.

Mangsa, Gorin Galais sebelum itu dilaporkan hilang sejak 4 Mei lalu oleh ahli keluarganya yang kemudiannya membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata bomba dimaklumkan mengenai kehilangan mangsa oleh polis Kota Belud, jam 4.03 petang semalam (6 Mei).

Katanya, sepasukan 10 pegawai dan anggota dari BBP Kota Belud dikerah ke lokasi yang terletak 38 kilometer dari balai untuk mencari mangsa.

Turut membantu dalam operasi mencari ialah 10 anggota polis, 10 anggota Angkatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung.

Katanya gerakan mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang ditangguhkan jam 5.30 petang semalam sebelum disambung semula 7.30 pagi tadi.

Menurut Muhammad Syazwan, mangsa akhirnya ditemui pasukan pencari, jam 10.43 pagi tadi.

“Mangsa telah dijumpai oleh pasukan bomba bersama orang kampung terlibat pada jam 10.43 pagi, kira-kira 1.36 kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dalam keadaan lemah serta mengalami kecederaan di bahagian kepala.

“Pasukan Bomba memberi rawatan awal dan seterusnya membawa mangsa ke PKTK dalam keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Mangsa kemudiannya dihantar oleh pihak ambulans ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi ditamatkan sepenuhnya jam 1 petang.