Warga Emas Hilang 23 Jam, Ditemui Selamat

TAWAU: Seorang warga emas yang dilaporkan hilang sejak 10 pagi semalam, di Bukit Kukusan, di sini, ditemui selamat pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John berkata mangsa berusia 60 tahun, ditemui 9 pagi tadi dalam keadaan selamat, kira-kira 200 meter dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

Katanya, mangsa ditemui oleh pasukan bomba bersama penduduk kampung dan agensi lain yang menjalankan gerakan mencari hari kedua, bermula 6 pagi tadi.

Seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pemeriksaan kesihatan.

Serentak dengan itu, operasi mencari ditamatkan jam 9.22 pagi tadi.

Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya selepas dia tidak kembali ke rumahnya di Bukit Kukusan, Tawau sejak 10 pagi semalam.

Gerakan mencari membabitkan anggota bomba, Angkatan Pertahanan Awam, polis dan unit dron serta penduduk kampung.

Pasukan pencari dibahagikan kepada 2 pasukan dengan kawasan pencarian dalam radius 1 kilometer dari rumah mangsa.