Warga Emas Hidup Di Tapak Longgokan Sampah Dapat Pembelaan

Roslan (kanan) ketika melawat dan memujuk pasangan Jurrah dan Amil, untuk berpindah ke kediaman lain, hari ini.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Kisah pasangan warga emas yang hidup daif di kawasan pembuangan sampah haram, di sini, mendapat perhatian ramai pihak yang simpati dengan kehidupan mereka.

Difahamkan, sejak kisah Amil Bala, 70-an, dan isterinya Jurrah Abdul Halim, 62, tular di media sosial dan mendapat liputan media, beberapa pihak tampil ke rumah pasangan tersebut yang terletak di Jalan Damai, di sini.

Pengarah Majlis Permuafakatan Sri Tahfiz Nadi Al-Baghdadi (MPSTNAB) Tawau, Roslan Ramli berkata, pihaknya sekali lagi datang ke rumah pasangan terbabit bagi memujuk mereka untuk berpindah ke rumah lebih selesa.

“Sebelum ini, kami sudah pernah mengunjungi Amil dan Jurrah, namun mereka enggan berpindah mungkin selesa dengan kehidupan yang ada.

“Justeru, hari ini, kami cuba memujuk pasangan itu sekali lagi, kerana mahu melihat mereka menjalani kehidupan lebih baik,” katanya.

Tambah Roslan, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa rumah yang bersesuaian dan bersedia menampung segala kos sewa rumah, bil utiliti dan kebajikan mereka.

Bagaimanapun, Borneo Today difahamkan pasangan tersebut minta untuk diberikan sedikit masa bagi membuat keputusan selepas mengambil kira keadaan semasa termasuk haiwan peliharaannya seperti ayam dan kucing yang tidak sesuai untuk dibawa berpindah ke rumah baharu.

Menurut Jurrah, dia berterima kasih kepada semua pihak yang membantunya dan suami.

“Seperti yang saya katakan semalam, saya tidak mahu menyusahkan orang lain, selain sudah selesa tinggal di sini.

“InsyaAllah, mungkin selepas hari raya kami akan membuat keputusan sama ada berpindah atau tidak,” katanya.

Semalam, Borneo Today melaporkan berita mengenai Jurrah dan Amil yang membina kediaman di sebalik rimbunan pokok pisang dan kawasan longgokan sampah haram.

Dibina daripada zink dan kayu terpakai, ternyata kediaman pasangan yang tidak dikurniakan zuriat ini, usang dan tidak sesuai didiami.