Warga Emas Ditemukan Lemas Di Sungai Segaliud

Arifin Asgali, ahli Dewan Undangan Sabah melawat ahli keluarga mangsa pada khamis

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
SANDAKAN: Seorang warga emas yang dilaporkan hilang ketika keluar menangkap ikan di Sungai Segaliud semalam ditemukan lemas berhampiran loji air di sungai itu pagi ini.

Mayat mangsa, Mohamad Salim, 62, ditemukan orang awam yang turut membantu melakukan pencarian pada pukul 10.25 pagi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Sandakan, Anddre Andrew berkata, sebanyak tujuh anggota daripada bomba Sandakan memulakan operasi mencari dan menyelamat ke atas mangsa selepas seorang anaknya membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan berhubung kehilangan bapanya.

“Mangsa sebelum itu keluar ke sungai untuk menangkap ikan pada pukul 6.30 pagi semalam, namun anaknya yang pulang dari kerja pada pukul 6 petang mula risau kerana bapanya belum balik.

“Anak mangsa dan beberapa penduduk kampung kemudian mencarinya dan menemukan perahu mangsa di dasar sungai pada pukul 10 malam, lalu membuat laporan polis di IPD Kinabatangan,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemukan kira-kira satu kilometer dari lokasi penemuan perahu itu dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Jelas beliau, siasatan awal mendapati perahu mangsa dipercayai terlanggar objek keras sehingga pecah dan karam.

Tambahnya, bomba turut menerima bantuan 11 anggota daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), seorang anggota polis dan kira-kira 20 penduduk dalam operasi tersebut.

“Operasi mencari ditamatkan pada pukul 11 pagi selepas mayat mangsa ditemukan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.