Warga Emas Dari Sandakan Ditemui Mati Dalam Kamar Hotel Di KK

Anggota polis mengusung mayat seorang warga emas yang ditemui mati dalam bilik sebuah hotel di Kota Kinabalu Sabtu. – Gambar ihsan PDRM Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga emas ditemui mati bersendirian di dalam sebuah bilik hotel di Kampung Air di sini Sabtu pagi.

Difahamkan, mangsa berusia 54 tahun itu dijumpai dalam keadaan terbaring di atas katil oleh pekerja hotel terbabit kira-kira pukul 6 pagi.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra mengesahkan mengenai kejadian berkenaan.

“Sepasukan anggota polis segera bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan mengenai insiden ini pada pukul 6.25 pagi.

Click on the advertisement to know more.

“Sebaik tiba di sana, pasukan perubatan mengesahkan lelaki yang berasal dari Sandakan itu sudah meninggal dunia di dalam bilik hotel yang terletak di tingkat satu,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Chandra, hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang kesan pecah masuk bilik dan kecederaan fizikal ditemui pada tubuh lelaki terbabit.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk tindakan lanjut,” jelasnnya. – IZYAN LIYANA MOHD. DARIF/ kosmo.com.my

BERITA SELANJUT: –

http://www.kosmo.com.my/negara/warga-emas-ditemui-mati-dalam-kamar-hotel-1.560329