Wanita Warisan Bantu Galak Pendaftaran Vaksin

KOTA KINABALU: Pemimpin wanita dalam Parti Warisan Sabah (Warisan) mengambil inisiatif melancarkan WiSE Network (Women in Sabah’s Expression) pada Selasa.

Wise Network akan memberi sokongan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menggalakan lebih ramai mendaftar bagi program imunisasi Covid-19 kebangsaan (PICK).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Norazlinah Arif berkata, penubuhan WiSE ini sebagai medium dan platform mendekati dan menyuarakan isi hati rakyat di peringkat akar umbi dalam berdepan pandemik Covid-19 yang semakin serius ketika ini.

Katanya, dengan sekatan pergerakan yang dikuatkuasakan, media sosial adalah wadah terbaik untuk memastikan input dari akar umbi disampaikan kepada pihak berkuasa.

WiSE akan berusaha menjadi penyampai maklumat benar daripada pihak berkuasa kepada akar umbi.

“Diharap usaha permulaan ini menjadi pemangkin kepada penyatuan dan usaha memartabatkan wanita seluruh negeri Sabah.

“Semasa pelancaran WiSE Network, sesi perbincangan untuk mengupas mengapa peratusan pendaftaran vaksinasi Covid-19 sangat rendah di Sabah (17 peratus ketika ini).

“Sesi perbincangan ini dikendalikan oleh Jenifer Lasimbang, mantan Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah.

“Peserta perbincangan menemubual responden dari kawasan masing-masing yang belum mendaftar atau yang belum menerima vaksin (keutamaan kepada mereka berusia 60 tahun ke atas).

Tujuannya adalah untuk memastikan pembentangan dan perbincangan disokong dengan bukti-bukti kukuh.

“Antara maklum balas diterima, ada yang menerima dan lebih mempercayai maklumat tidak tepat/sahih melalui media sosial seperti vaksin itu boleh membawa kematian; ada yang sudah mendaftar Mysejahtera, namun sehingga kini tidak mendapat respon; serta ada pendaftaran tidak berjaya melalui aplikasi MySejahtera disebabkan kesilapan mengisi maklumat peribadi.

“Untuk itu, antara tindakan yang boleh diambil melalui usaha itu adalah, WiSE Network boleh memberikan sokongan kepada pihak KKM dan pihak berwajib untuk menggalakan lebih ramai mendaftar,” katanya.

WiSE Network juga berharap mendapat akses kepada data yang sahih serta disaggregated data contohnya pecahan data mengikut daerah untuk mengenalpasti kumpulan sasar yang perlu lebih banyak promosi.