Wanita Warga Emas Maut Diserang Buaya

PITAS: Seorang warga emas maut selepas mengalami kecederaan parah di kepala akibat diserang buaya di sungai Kampung Sinasak Batu, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa wanita berusia 66 tahun itu dikatakan turun ke sungai untuk mengambil air sebelum cuba membaiki pam air di sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitendan Zainolnizal Ishak berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah akibat gigitan buaya di bahagian kepala disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital.

Siasatan awal mendapati mangsa turun ke sungai mengambil air bersama cucu perempuannya yang berusia sembilan tahun.

“Semasa sedang membaiki pam air, tiba-tiba saksi iaitu cucunya terdengar mangsa menjerit dan ternampak kocakan air sungai dan buaya yang sedang menyerang mangsa.

“Namun, mangsa berjaya melepaskan kiri dan diselamatkan oleh orang kampung lalu dikejarkan ke Hospital Pitas bagi menerima rawatan.

“Walau bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 1.20 petang oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, pemeriksaan fizikal mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan akibat gigitan buaya di kepala mangsa dan ia selari dengan keterangan saksi.

Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).