Wanita Warga Emas Hilang Ketika Mencari Lokan, Ditemukan Meninggal Dunia

TUARAN : Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang di kawasan hutan paya bakau ketika sedang mencari lokan bersama ahli keluarganya di Kampung Betutai, di sini, sejak 19 Februari lalu, ditemui telah meninggal dunia, petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohd Abd Qawie Abdul Gapar
berkata mangsa telah ditemui di lokasi kira-kira 600 meter dari Pos Kawalan Pasukan Pencari dan disahkan telah meninggal dunia oleh polis.

Mangsa seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Dengan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat sejak 3 hari lalu ditamatkan sepenuhnya jam 7.10 petang.

Mangsa yang dikenali Jinteh Sudin, 76 tahun sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan hutan paya bakau, ketika mencari lokan bersama ahli keluarganya, kira-kira
jam 3.30 petang, Ahad lalu.

Pasukan pencari terdiri sepasukan 12 anggota bomba dari BBP Tuaran yang diketuai sendiri Mohd Abd Qawie, 2 ekor anjing pengesan dari unit K9, 35 anggota polis dan 5 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Tiada liputan rangkaian trunk radio bersepadu kerajaan (GIRN) manakala talian telefon kurang baik di lokasi kejadian.