Wanita Perlu Jalani Pemeriksaan Payudara Lebih Awal, Elak Hidap Kanser

46

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan mengenalpasti pendekatan terbaik dalam membantu mencegah penyakit kanser payudara dalam kalangan wanita terutama yang berada di kawasan pedalaman.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Frankie Poon berkata, memandangkan peratusan penghidap kanser payudara di Sabah antara yang tertinggi di seluruh negara, iaitu mencecah 52 peratus maka, usaha perlu diambil bagi mengurangkan risiko penyakit berkenaan.

Beliau berkata, kelewatan dalam menjalani pemeriksaan payudara menyebabkan kanser itu lewat dikesan dan seterusnya menjadi penyumbang kepada peratusan yang tinggi itu.

Katanya, peratusan penghidap kanser payudara di Sabah lebih tinggi berbanding nasional, iaitu pada kadar 40 peratus.

”Jumlah ini agak membimbangkan. Maka, kita mahu semua wanita sentiasa mengambil berat tentang kesihatan payudara bagi mengelakkan lebih ramai yang menghidap kanser tersebut,” katanya semasa meerasmikan Pelancaran Program iBreastExam & iBreastExam Digital Breast Health Initiative, di sini pada Selasa.

Menurutnya, Sabah adalah perintis kepada program berkenaan yang menggunakan mesin iBreastExam bagi melakukan pemeriksaan payudara.

Katanya, pemeriksaan menggunakan iBreastExam itu boleh dilakukan di KPJ Healthcare Damai dan semua Medisinar Klinik & Surgeri seluruh Sabah.

Buat masa ini, pemeriksaan menggunakan peralatan sebegini hanya disediakan di hospital dan klinik swasta pada kadar RM70.

Mengulas lanjut, Frankie memberi jaminan kerajaan akan cuba menyediakan perkhidmatan pemeriksaan payudara menggunakan mesin berkenaan di hospital kerajaan.

Katanya, sekiranya perkhidmatan sebegitu dapat disediakan di hospital kerajaan, ia pasti dapat membantu mengurangkan kadar bayaran yang dikenakan. Sekaligus ia dapat meringankan bebanan ibu tunggal dan wanita dari golongan B40.