Wanita Maut, Lapan Cedera Kenderaan Terbabas

KINABATANGAN: Seorang wanita maut dan lapan individu lain cedera apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki terbabas sendiri di bahu jalan di Jalan Paris Satu, Kampung Paris, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi tadi, mangsa wanita yang tersepit di dalam kenderaan itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.58 pagi dan sepasukan pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang berada kira-kira 41 kilometer dari BBP Kinabatangan.

Setibanya di lokasi kejadian, terdapat sebuah Isuzu Dmax terbabas di bahu jalan dan terdapat sembilan mangsa.

“Seorang mangsa wanita yang maut didapati tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.

“Mangsa lain yang cedera telah diberi rawatan awal dan dihantar ke hospital menaiki ambulans,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mayat mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi tamat pada 9.30 pagi.