Wanita Maut Dibunuh Teman Lelaki Anak, Suspek Serah Diri Kepada Polis

Gambar hiasan

SANDAKAN: Seorang wanita warga asing ditemui maut dengan kesan kelar pada leher dipercayai dibunuh teman lelaki anaknya dalam kejadian di Apartment Taman Sentosa, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, siasatan awal polis mendapati wanita warga Indonesia berusia 59 tahun berkenaan bersama anak perempuannya berumur 25 tahun yang juga kekasih suspek telah didatangi suspek, kira-kira 5.50 petang.

“Berlaku pertengkaran, lalu suspek bertindak mengelar bahagian leher mangsa.

“Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala anak perempuannya cedera ringan dibahagian tangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Fuad berkata suspek, seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun telah menyerah diri di Balai Polis Sandakan dan ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Katanya punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent (HDOK), Sandakan untuk bedah siasat, manakala suspek kini ditahan reman,” katanya.