Wanita Lemas Terperangkap Dalam Kenderaan Dihanyutkan Arus

Mayat mangsa yang ditemukan di sungai Kg Semundoh, Tongod.

TONGOD: Seorang wanita warga Indonesia ditemukan lemas apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki dibawa arus sungai dalam kejadian di Kampung (Kg) Semundoh, di sini tengahari tadi (Sabtu).

Mangsa, Maria Pongli,35, ditemukan orang awam pada jarak 40meter dari lokasi kejadian.

Majikan mangsa yang turut menaiki kenderaan tersebut bagaimanapun, dilaporkan selamat.

Majikan mangsa, Lee Yoke Cheng,64, difahamkan berhenti seketika bagi melihat jalan yang mula ditenggelami air sebelum kenderaan terbabit dihanyutkan arus.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 12.02 tengahari dan sebuah jentera FRT bersama seorang pegawai dan tiga anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian.

Pegawai bomba kemudian mendapatkan maklumat mangsa dengan lebih lanjut daripada saksi utama yang merupakan majikan mangsa.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa oleh pasukan bomba dilakukan di permukaan air di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Kemudian pasukan bomba mengambil mayat mangsa untuk diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.