Wanita Kehilangan RM18,000 Diperdaya Scammer

692

Oleh SURAIDAH ROSLAN
SANDAKAN: Seorang wanita kehilangan RM18,000 dalam sekelip mata melalui transaksi bank apabila terpedaya dengan panggilan yang mendakwa daripada hotline kerajaan.

Wanita itu mendakwa menerima panggilan daripada talian hotline kerajaan yang menyatakan akaun bank miliknya digunakan oleh syarikat yang berhutang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

”Mangsa dimaklumkan syarikat itu mempunyai hutang GST sebanyak RM51,076. Bank akaun miliknya juga didakwa digunakan untuk pengubahan wang haram.

”Panik dengan maklumat sebegitu, wanita ini terus memindahkan wang berjumlah RM18,000 kepada akaun yang diberikan pemanggil,” kata Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sandakan, Jason Pang.

Mangsa disarankan untuk memindahkan wang miliknya ke akaun yang diberitahu scammer kerana pemanggil yang mengaku dari agensi kerajaan itu berjanji memulangkan semula wang berkenaan selepas siasatan kes pengubahan wang haram kepada mangsa selesai.

Setelah proses pemindahan wang dilakukan, mangsa memaklumkan keluarganya dan beliau diminta membuat laporan polis.

”Selepas itu baru mangsa mengetahui terdapat talian hotline kerajaan digodam oleh sindiket penipuan online yang melakukan aktiviti penipuan itu di Singapura dan Thailand,” ujarnya.

Jason dan Pemaju Mukim Stanley Tan mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Elopura Calvin Chong menemui mangsa di Sandakan, baru-baru ini.

Simpati dengan keadaan yang menimpa mangsa, Calvin menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan panggilan dari nombor yang tidak dikenali.

Beliau berkata, teknologi sekarang amat canggih dan orang akan mudah terpedaya dengan penipu yang menyamar mewakili mana-mana agensi kerajaan.

Calvin berharap polis dapat menyelesaikan kes ini dan membuat tangkapan terhadap individu yang memperdayakan mangsa.

Katanya, pihaknya bersedia memberi kerjasama dalam membantu menyelesaikan kes penipuan berkenaan.