Wanita Hilang Ditemukan Maut Dibaham Buaya

TAWAU: Wanita yang hilang sejak kelmarin ditemukan maut dipercayai akibat dibaham buaya di Kampung Serudung Laut, Kalabakan pagi tadi.

Mayat mangsa, Fosanih Nansel,22, ditemukan pada 8 pagi tadi kira-kura 300 meter daripada lokasi terakhir mangsa dilihat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen Jr berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai wanita yang hilang dipercayai dibaham buaya itu pada pukul 8.19 malam kelmarin.

Kemudian, seramai lima pegawai dan anggota BBP Tawau bersama empat anggota sukarelawan bomba dikejarkan ke lokasi kejadian.

Namun, disebabkan kawasan kejadia berisiko maka, operasi mencari dan menyelamat (SAR) tidak dapat dijalankan kelmarin. SAR kemudiannya dimulakan pagi tadi dan mangsa ditemukan oleh orang awam pada jarak 300 meter daripada lokasi mangsa dikatakan hilang.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi SAR ditamatkan pada 10.27 pagi.