Wanita Hamil Disamun

LOKASI mangsa disamun di tandas sebuah restoran di Labuan.

Oleh NORA AHMAD
LABUAN: Seorang wanita hamil berhadapan detik cemas apabila ditolah sehingga cedera sebelum disamun dalam kejadian di tandas sebuah restoran di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 11.15 pagi itu, mangsa berusia 33 tahun yang sedang hamil lima bulan diserang dua lelaki secara tiba-tiba sebelum wang RM4,000 dan rantai leher miliknya dilarikan suspek.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, kejadian itu disedari pekerja restoran terbabit sebelum bertindak menghantar mangsa ke hospital.

“Menurut siasatan, mangsa telah ditolak oleh salah seorang lelaki tidak dikenali sehingga menyebabkan mangsa terhantuk pada dinding tandas lalu terjatuh ke lantai.

“Wang tunai mangsa sebanyak RM4,000 yang disimpan di dalam dompet bersama seutas rantai leher yang dipakai mangsa telah diambil dan suspek berjaya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Muhamad Farid berkata, hasil siasatan lanjut mendapati mangsa dipercayai telah diekori suspek selepas mengeluarkan wang di mesin juruwang automatik (ATM) sebuah bank.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM5,500 selain turut mengalami kecederaan lebam di bahagian tangan kiri dan kesan calar di leher serta sakit di kepala akibat terhantuk.

“Mangsa kini masih ditahan di Hospital Labuan untuk tujuan pemeriksaan lanjut dan keadaan mangsa pada ketika ini stabil,” katanya.

Terdahulu, Muhamad Farid turut menasihatkan orang ramai yang melakukan urusan pengeluaran wang di pusat kewangan supaya sentiasa berhati-hati dengan keadaan sekeliling dan memerhati sebarang kelakukan orang yang mencurigakan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh tampil memberikan keterangan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.