Wanita Ditahan Buat Laporan Polis Palsu Elak Bayar Denda Ganti MyKad

1461

SANDAKAN: Tindakan seorang wanita berusia 39 tahun membuat laporan polis palsu bagi mengelak membayar denda permohonan penggantian kad pengenalan hilang di Jabatan Pendaftaran Negara menyebabkan dia ditangkap.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Mohd Azhar Hamin berkata wanita itu ditahan semalam selepas siasatan terperinci dijalankan terhadap laporan polis yang dibuat bahawa beg tangannya diragut oleh dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal tidak berlaku.

Katanya wanita rakyat tempatan dalam laporan palsu dibuatnya mendakwa kejadian itu berlaku pada hari yang sama kira-kira jam 5.30 pagi di Perhentian Bas, Batu 2, Jalan Utara dekat sini.

Berikutan laporan itu, polis membuka siasatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan, katanya di sini, hari ini (Isnin).

Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat laporan polis palsu kerana jika didapati laporan yang dibuat adalah tidak benar maka seseorang itu boleh ditangkap dan didakwa.

Menurutnya kesalahan itu adalah di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-dua sekali, kata di sini.